COVID-19: Sambutan pengunjung ke Zoo Melaka merosot

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 28 Okt. – Pelancong ke Zoo Melaka merosot sehingga 90 peratus akibat gelombang kedua penularan COVID-19.

Yang Dipertua Majlis Pebandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata, akibat penurunan pelancong domestik yang begitu mendadak, pihaknya terpaksa menangguhkan sementara operasi perkhidmatan ‘Night Safari’ kerana ketiadaan pengunjung pada waktu malam.

Katanya, perbezaan ketara terhadap kunjungan pelancong itu dapat dibandingkan apabila pihaknya menerima lebih 10,000 pengunjung domestik dalam tempoh hujung minggu sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa pada Julai lalu.

“Bagaimanapun, menjelang penularan COVID-19 pada gelombang kedua ini kita mendapati baru-baru ini Zoo Melaka hanya dikunjungi tidak kurang 1,000 pelancong pada hujung minggu.

“Perkara ini begitu terkesan, namun, kita akan kekalkan operasi seperti biasa dengan penetapan kawalan keselamatan termasuk sanitasi turut dilaksanakan pihak kami mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Manakala bagi operasi ‘Night Safari’ juga kita hentikan dahulu sehingga dimaklumkan kelak disebabkan gelombang kedua yang berlaku ini menjadikan kita tidak menerima pengunjung dalam tempoh ini pada waktu malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan 10 Tan Sayur-sayuran bersama Evergreen Energy di Zoo Melaka, di sini hari ini.

Jelasnya, antara faktor yang menjejaskan sementara rekod pengunjung domestik ke Zoo Melaka adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Berkuatkuasa (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berkata, bagi menumpukan pasaran pelancongan domestik, pihaknya turut menawarkan pakej potongan harga berpatutan pada pembayaran tiket yang dikenakan di zoo berkenaan.

Katanya, sambutan promosi yang dilaksanakan itu seiring dengan Sambutan Hari Haiwan Sedunia.

“Harga tiket dengan potongan kadar istimewa hujung minggu sebanyak RM17 akan dikenakan buat dewasa dan RM7 buat kanak-kanak ditawarkan kepada orang ramai bermula esok hingga 30 November ini.

Views:

867
Kongsi :
Previous post Warga emas maut kemalangan
Next post Penoreh dan pekebun kecil getah ‘tersenyum’
Ubah saiz-+=