Warga emas maut kemalangan

Masa Membaca:58 Saat

ALOR GAJAH 28 Okt. – Lelaki warga emas meninggal dunia selepas lebih 15 jam
bertarung nyawa susulan motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dalam
kejadian di Jalan Rembia, di sini, petang semalam.

Mangsa berusia 66 tahun itu ketika kejadian menunggang Modenas Kriss
meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, selepas
terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda, mangsa dimasukkan ke Zon
Merah kerana mengalami pendarahan tidak henti dibahagian kepala.

“Pada jam 10.05 pagi tadi, pihak kami dimaklumkan dari pihak Hospital Melaka memaklumkan mangsa telah meninggal dunia semasa menerima rawatan.

“Kemalangan dikatakan berlaku kira- kira jam 4.45 petang semalam sebelum
mangsa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa melintas jalan
sebelum sebuah pacuan empat roda yang kebetulan melalui lokasi tidak sempat
mengelak lalu terlanggar motosikal ditunggangnya.

“Mangsa dipercayai melintas dihadapan pacuan empat roda menyebabkan
pemandunya tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat sebelum
terlanggar bahagian tepi sebelah kanan motosikal mangsa.

“Kedua-dua kenderaan kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan
Kenderaan Bermotor (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut selain kes disiasat
mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Views:

782
Kongsi :
Previous post COVID-19: Masyarakat mula alpa – Exco Kesihatan
Next post COVID-19: Sambutan pengunjung ke Zoo Melaka merosot
Ubah saiz-+=