COVID-19: Satu kematian dilapor selepas seminggu, kes baharu kekal dua angka

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Selepas genap seminggu, Malaysia kembali mencatatkan satu kes kematian akibat jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kepada 124 kes, setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu terdapat 13 kes baharu dilaporkan, menjadikan menjadikan jumlah keseluruhan kepada 8,897 kes.

Katanya, kes kematian itu melibatkan seorang wanita warganegara Malaysia (kes ke-8743) berumur 63 tahun, mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan hypercholesterolemia.

“Beliau mempunyai gejala demam dan batuk pada 3 Julai, dan mendapat rawatan pada 9 Julai. Beliau dirujuk ke Hospital Umum Kuching pada hari sama untuk rawatan lanjut, dan ujian COVID-19 didapati positif.

“Keadaan beliau didapati merosot dan kemudiannya semakin tenat. Beliau disahkan meninggal dunia pada 26 Julai, jam 12.04 tengah malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 173 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Katanya daripada 13 kes baharu itu, sepuluh kes melibatkan penularan tempatan melibatkan sembilan warganegara dan satu bukan warganegara, manakala tiga lagi adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara.

Kes import tersebut melibatkan seorang warganegara dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia, iaitu dari Pakistan (kes di Kuala Lumpur), Kazakhstan (kes di Kuala Lumpur) dan Indonesia (kes di Kelantan).

Bagi perincian mengenai penularan tempatan, beliau berkata, satu kes melibatkan bukan warganegara adalah daripada Kluster Bukit Tiram.

“Sembilan melibatkan warganegara pula adalah enam kes daripada Kluster Bukit Tiram, Johor, satu kes daripada Kluster Sentosa di Sarawak, satu kes daripada saringan praprosedur di Pahang dan satu kes daripada saringan kontak rapat kepada kes ke-8662 di Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, dilaporkan sehingga kini dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Enam kes pula dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,600 kes iaitu 96.7 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Sementara itu Dr Noor Hisham menasihatkan, pengembara yang telah pulang ke Malaysia sebelum 24 Julai lalu, yang kini menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, agar mematuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan.

Menurutnya antara syarat itu termasuklah supaya mereka menjalani kuarantin di rumah sepenuhnya dan elak bercampur gaul dengan ahli keluarga atau rakan serumah.

“Pada hari ke-14, pengembara perlu hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat dengan laporan ujian COVID-19, untuk mendapatkan pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, serta untuk menanggalkan gelang perintah pengawasan oleh PKD,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 24 Julai, seramai 17,897 orang pengembara telah mendapat pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, serta telah ditanggalkan gelang perintah pengawasan oleh PKD.

“Walaubagaimanapun, sehingga 24 Julai, didapati masih terdapat 2,897 orang pengembara yang masih belum tampil ke PKD, untuk mendapat pelepasan,” katanya. – BERNAMA

Views:

304
Kongsi :
Previous post Malaysia, Singapura lakar sejarah bertemu atas Tambak Johor, setuju rentas sempadan
Next post Lelaki ditahan lari sekatan jalan
Ubah saiz-+=