COVID-19: Sekolah tahfiz di Jasin ditutup tujuh hari

Masa Membaca:59 Saat

JASIN 4 Dis – Sebuah sekolah menengah tahfiz milik Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Chenderah, di sini ditutup tujuh hari susulan berlaku penularan jangkitan COVID-19.

Exco Kesihatan Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat beberapa pelajar asrama dan guru di sekolah berkenaan disahkan positif COVID-19.

Justeru, katanya, kesemua guru dan pelajar kini sedang menjalani kuarantin wajib dan akan menjalani saringan lanjut yang akan dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin.

“Alhamdulilah adik-adik di sekolah ini dalam keadaan yang sihat dan ceria.

“Mereka yang positif COVID-19 telah dihantar ke PKRC MITC dan mereka juga dalam keadaan yang sihat dan hanya mengalami simptom yang ringan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut meminta beberapa penambah baikan dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya membabitkan sekolah berasrama.

Katanya, antara yang boleh dilakukan ialah mewajibkan semua individu yang memasuki sekolah agar melakukan ujian RTK.

“Ini perlu dilakukan agar keselamatan dan kesihatan anak-anak yang sedang belajar terjamin.

“Selain dari itu juga, ujian saringan RTK secara berkala perlu dilakukan secara rawak untuk mengurangkan lagi risiko jangkitan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1966
Kongsi :
Previous post Chin Ann titip nasihat buat pemain negara
Next post Malaysia-China bekerjasama dalam R&D dan pengeluaran vaksin
Ubah saiz-+=