COVID-19 : Tiga kluster baharu di Melaka direkodkan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 1 Mei. – Jabatan Kesihatan Negeri hari ini merekodkan pertambahan tiga kluster baharu di negeri ini.

Kluster itu membabitkan Kluster Ayer Budi, Kluster Seri Jati dan Kluster Sebatu.

“Kluster Air Budi dilaporkan pada 20 April lalu, ia dikesan positif setelah menjalani saringan bergejala di klinik swasta.

“Individu positif ini didapati mempunyai sejarah rentas negeri ke Selangor bagi menghadiri kenduri kematian.

“Seramai 228 orang kontak rapat telah dikesan yang mana 169 orang disaring, 15 orang positif dan 155 orang negatif,” kata kenyataan itu.

Penularan kes positif bagi kluster ini adalah melalui aktiviti tadarus di surau yang dihadiri komuniti setempat.

Manakala bagi Kluster Seri Jati mula dilaporkan hari ini setelah disaring kerana terdapat individu yang merupakan kontak rapat kepada kes positif di Kuala Lumpur.

“Beliau bertemu rakannya yang merentas negeri dari Kuala Lumpur ke Melaka untuk makan bersama.

“Seramai 147 kontak rapat dikesan dan disaring yang mana 12 orang positif, 135 orang negatif, kluster ini telah merebak sehingga generasi keempat,” katanya.

Bagi Kluster Sebatu, ia mula dilaporkan pada 27 April lalu.

“Kes indeks kluster ini tidak dapat dikenalpasti (unknown) dan disyaki berpunca daripada jangkitan sporadik dari komuniti.

“Seramai 167 kontak rapat dikesan dan disaring, 27 orang positif, 11 orang negatif dan 51 orang masih menunggu keputusan dan dua akan diulang ujian.

“Penularan kes positif bagi kluster ini adalah melalui aktiviti tadarus di surau dan dihadiri komuniti setempat,” katanya.

Bagi perincian kes hari ini, sebanyak 54 kes positif iaitu 49 kes tempatan, tiga kes import dan dua kes banduan.

Selain itu, terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu satu kes Kluster Jalan Kesidang, enam kes Kluster Teknologi Ayer Keroh dan satu kes Kluster Pengkalan Batik.

Setakat hari ini sebanyak 343 kes sedang dirawat, sembilan kes di unit rawatan rapi (ICU) dan tiga kes menggunakan bantuan alat pernafasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Kongsi :
Previous post KPM tetapkan empat kaedah pergerakan pulang pelajar
Next post Seorang maut, tiga cedera dua tangki minyak mentah terbakar
Ubah saiz-+=