COVID: Kes baharu kembali melebihi angka 6,000

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KUALA LUMPUR 9 Jun – Kes baharu positif COVID-19 di negara ini kembali melebih angka 6,000 dalam tempoh 24 jam lalu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham menerusi laman media sosial rasminya menyatakan sejumlah 6,239 kes baharu COVID-19 direkodkan sepanjang 24 jam lalu, meningkat berbanding 5,566 kes semalam.

Katanya berikutan itu, jumlah kumulatif kes positif di Malaysia setakat ini ialah 633,891 kes.

Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi iaitu 2,291 kes diikuti Kuala Lumpur (704), Negeri Sembilan (507), Johor (468) dan Sarawak (419).

Selain itu, Kelantan merekodkan 340 kes, Pahang dan Sabah masing-masing 232 kes, Labuan (200), Pulau Pinang (194), Perak (175), Terengganu (171), Melaka (150), Kedah (135), Putrajaya (17) manakala Perlis empat kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataan berkata, sebanyak 7,386 kes sembuh dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu dengan kes aktif kini sebanyak 81,575, manakala 905 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 453 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 75 kes kematian direkodkan hari ini melibatkan 23 kes di Selangor, 18 kes di Johor, tujuh di Kelantan, masing-masing lima kes di Kuala Lumpur dan Kedah, masing-masing tiga kes di Sabah, Melaka, Negeri Sembilan, dan Sarawak, dua kes di Perak, serta masing-masing satu kes di Pulau Pinang, Terengganu, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 15 kluster baharu dikesan dengan 13 daripadanya membabitkan penularan di tempat kerja dan masing-masing satu kluster membabitkan komuniti dan Institusi Pendidikan Swasta Berdaftar di bawah Kementerian Pelajaran (KPM).

Kluster tempat kerja direkodkan ialah Sungai Rasau 27, Perusahaan Dua Batu Caves, Industri Balakong Tujuh, Camar Lapan dan Alam Jaya Dua di Selangor; Jalan Wisma dan Lot Sembilan, (Sabah); Kampung Huda (Kelantan) serta Industri Teluk Kalong di Terengganu.

Selain itu, kluster tempat kerja turut melibatkan Lorong Perusahaan 8A (Pulau Pinang); Industri Medan Tasek, (Perak);  Jalan Keluli Sembilan, (Johor) dan Dah Mengkudu, Kedah.

Kluster komuniti pula membabitkan Gong Mengkeleh di Kelantan manakala kluster Institusi Pendidikan Swasta Berdaftar di bawah KPM iaitu Putra Sembilan di Putrajaya dan Selangor.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

389
Kongsi :
Previous post 59,548 rakyat Melaka terima vaksin COVID-19 – Sulaiman
Next post Pegawai polis ditahan, disyaki perkosa ibu tunggal di bilik IPD
Ubah saiz-+=