COVID: Puteri UMNO Melaka turun padang salur bantuan kepada penduduk

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 7 Sept – Cakna dan simpati terhadap nasib penduduk terjejas COVID-19 di negeri ini, Puteri UMNO Melaka turut sama ‘turun padang’ menyalurkan pelbagai bantuan terus kepada golongan memerlukan.

Ketua pergerakan itu, Nurashiqin Alias berkata, pihaknya komited bagi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban ditanggung masyarakat terutama golongan B40 dan warga emas.

Katanya, pelbagai bentuk bantuan telah disediakan untuk diagihkan ke setiap bahagian di negeri ini termasuk dana disalurkan oleh pelbagai pihak yang prihatin sejak pandemik itu melanda negara hingga kini.

BANTUAN lampin pakai buang antara keutamaan dalam misi kebajikan dijalankan Puteri UMNO kepada rakyat memerlukan di negeri ini.

“Setakat ini seramai 200 penerima telah disenaraikan di enam bahagian iaitu di Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Jasin, Kota Melaka dan Hang Tuah Jaya dan bantuan terbabit diagihkan dengan kerjasama Jawatankuasa Puteri Bahagian masing-masing.

“Antara bantuan yang kami utamakan seperti lampin pakai buang, susu formula kanak-kanak dan kit makanan telah disampaikan kepada penduduk memerlukan di setiap kawasan masing-masing,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Beliau berkata, bagi memastikan tiada masyarakat yang ketinggalan pihaknya menyeru supaya mereka segera melaporkan kepada mana-mana jawatankuasa pergerakan itu bagi mendapat bantuan sewajarnya.

“Kita tidak hanya menunggu aduan dan ada bantuan diberi atas maklumat daripada kalangan jawatankuasa yang sentiasa peka dengan permasalahan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, bagi memastikan pemulihan ekonomi di Melaka, pihaknya sentiasa bersedia bagi membantu mana-mana pihak untuk memperluaskan vaksinasi agar mampu mencapai imuniti kelompok di sesebuah kawasan.

“Kita juga bersedia sekiranya ada pihak mahu Puteri UMNO menjadi urusetia bagi program vaksinasi kepada penduduk.

“Kerjasama seperti ini boleh membantu mempercepatkan lagi program vaksinasi yang sedang dilaksanakan ketika ini sekali gus mencapai imuniti kelompok dengan lebih pantas di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

823
Kongsi :
Previous post UTeM perkenalkan kursus bina pasukan secara dalam talian
Next post Melaka negeri pertama terajui lesen perniagaan digital
Ubah saiz-+=