Dadah: Farid Kamil didenda RM5,000, hukuman penjara diketepikan

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

PUTRAJAYA, 30 Nov – Pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengenakan hukuman denda RM5,000 kerana menggunakan dadah, empat tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan akhir Farid Kamil, 41, selaku perayu bagi mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2019.

Bagaimanapun, Hakim Kamaludin mengekalkan dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terhadap pelakon itu dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Pelakon filem Remp-It 2 itu membayar denda berkenaan.

Kamaludin dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah bersetuju dengan peguam perayu bahawa Mahkamah Majistret tidak konsisten dalam membuat pertimbangan ketika menjatuhkan hukuman terhadap Farid Kamil.

Hakim itu berkata tiada satu penjelasan konkrit yang boleh menyatakan bahawa hukuman tersebut setimpal dengan kesalahan dilakukan pada masa itu dan tiada aspek pemberatan contohnya tiada kesalahan lampau atau sebagainya.

“Ini kerana kes-kes mahkamah menunjukkan sama ada untuk menjatuhkan hukuman penjara dan denda, mahkamah bergantung kepada fakta kes itu. Dalam kes ini, kami dapati faktanya adalah jelas dan tidak menjurus kepada kesalahan terlalu serius atau berat.

“Oleh itu, mahkamah bersetuju dengan hujah peguam perayu dan memutuskan bahawa hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi, diketepikan serta diganti dengan hukuman denda RM5,000. Dua tahun pengawasan di bawah AADK dikekalkan,” kata hakim itu.

Turut bersidang Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk See Mee Chun.

Pada 15 Mei 2019, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Farid Kamil bersalah kerana menggunakan dadah dikenali sebagai THC, iaitu ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’.

Dia dituduh melakukan kesalahan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang, 11 Jan 2018.

Hukuman berkenaan dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November 2019.

Turut hadir di mahkamah isterinya, pelakon Diana Danielle dan adik Farid Kamil iaitu Fadzil.

Farid Kamil ketika ditemui pemberita selepas membayar denda menzahirkan rasa syukur dengan keputusan hari ini yang disifatkan terbaik untuk dirinya.

“Saya gembira kerana kes ini telah selesai di peringkat rayuan dan kini saya boleh fokus terhadap penggambaran filem seterusnya berjudul Anwar, yang kini berada di peringkat akhir serta bakal ditayangkan pada Februari 2023,” katanya yang turut berterima kasih kepada barisan peguam mewakilinya.

Farid Kamil diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Kee Wei Lon dan Low Wei Loke manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3566
Kongsi :
Previous post Kutipan tol di Lebuh Raya DASH bermula 1 Dis
Next post Tukang cuci warga emas temui ajal akibat sakit jantung
Ubah saiz-+=