Daerah Masjid Tanah mudahkan urusan rakyat- Latipah

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 4 Feb. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Datuk Wira Latipah Omar mengalu-alukan pembukaan daerah baharu Masjid Tanah yang dilihat bakal memudahkan urusan rakyat khasnya bagi mendapatkan perkhidmatan agensi kerajaan berkaitan.

Beliau berkata, pembentukan daerah baharu itu akan membawa keistimewaan kepada kawasan jajaran DUN terbabit disebabkan bakal mempunyai dua pembahagian daerah yang ditadbir kerajaan negeri.

Katanya, biarpun akan mempunyai dua pentadbiran daerah ia tidak akan menjejaskan urusan pentabiran dan memudahkan rakyat bagi mendapatkan perkhidmatan kerajaan dalam kawasan itu.

“Dalam kawasan DUN ini nanti akan menerima dua pentadbiran daerah yang berbeza di mana beberapa kawasan iaitu Rantau Panjang, Padang Lalang, Ayer Paabas serta sebahagiannya yang berdekatan dengan Masjid Tanah akan dimasukkan dalam wilayah itu.

“Apabila ada daerah baharu ia akan memudahkan rakyat disebabkan faktor jarak yang lebih dekat bagi berurusan dengan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan percukaian tanah serta pelbagai lagi.

“Penubuhan Daerah Masjid Tanah memang dinantikan kerana ia adalah kawasan tumpuan masyarakat dari pelbagai jajaran termasuk kawasan DUN Kuala Linggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan pembentukan daerah itu mampu membawa pembangunan mampan terhadap kegiatan ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Masjid Tanah.

“Seperti kita lihat sebuah Pusat Daerah Komuniti (PDK) dibangunkan di Masjid Tanah yang memfokuskan aktiviti OKU dalam menjana pendapatan sehinggakan pusat ini juga telah banyak mengharumkan nama Melaka ke peringkat antarabangsa.

“Pembangunan seperti ini perlu diteruskan sejajar dengan pembukaan daerah baharu ini yang juga mementingkan pembangunan ekonomi di setiap peringkat masyarakat agar mereka tidak ketinggalan,” katanya.

Views:

302
Kongsi :
Previous post Kilang elektronik Jerman: Lebih 200 peluang pekerjaan untuk warga Melaka
Next post MBMB pasang lampu di Kota Porta De Santiago, Bandar Hilir sempena Hari Kanser Sedunia hari ini.
Ubah saiz-+=