Kilang elektronik Jerman: Lebih 200 peluang pekerjaan untuk warga Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 4 Feb. – Syarikat elektronik terkemuka dunia, Leuze memilih Melaka sebagai lokasi baharu pembinaan kilang sensornya dalam usaha mengembangkan operasi dan memenuhi permintaan di rantau Asia.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) Datuk Roslan Ahmad berkata, kilang tersebut bakal dibangunkan di tanah seluas 1.62 hektar di Pusat Industri Pintar (SIC) Bukit Rambai dengan nilai pelaburan keseluruhan RM250 juta dan dijangka beroperasi pada Mac 2022.

Kilang itu juga jelasnya, akan membuka lebih 200 peluang pekerjaan untuk rakyat negeri ini.

“Difahamkan fasa pertama kilang ini akan membabitkan sektor pentadbiran dan logistik terlebih dahulu yang mana ia dijangka siap pada suku pertama 2022.

“Sebarang maklumat lanjut berhubung pembukaan dan permohonan pekerjaan untuk kilang ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak Invest Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Terdahulu, MHI melaporkan Syarikat Leuze yang merupakan pengeluar optikal sensor kelapan terbesar di dunia memilih Melaka sebagai lokasi pelaburan baharu dalam usaha memenuhi permintaan pasaran Asia.

Syarikat berkenaan mempunyai kilang di beberapa negara termasuk China dan Singapura itu beroperasi untuk menghasilkan sensor kereta yang mendapat permintaan daripada syarikat besar seperti Porsche, BMW, Audi dan Volkswagen.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pencapaian pelaburan Negeri Melaka sepanjang 2020, Roslan memaklumkan negeri ini masih lagi menjadi pilihan pelabur dalam dan luar negara apabila merekodkan nilai pelaburan RM1.2 bilion yang diluluskan dalam tempoh Januari hingga September tahun lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam & Infrastruktur negeri berkata, pelaburan itu membabitkan sembilan projek baharu dan dan 23 daripadanya adalah projek pembesaran (extension).

“Daripada nilai tersebut, RM617 juta adalah pelaburan tempatan, manakala bakinya sekitar RM583 juta merupakan pelaburan asing.

“Pelaburan itu juga membuka 1,112 peluang pekerjaan di seluruh negeri yang merangkumi 13 jenis industri yang pelbagai,” katanya.

Views:

2972
Kongsi :
Previous post Program Imunisasi COVID-19 bermula hujung bulan ini dalam tiga fasa
Next post Daerah Masjid Tanah mudahkan urusan rakyat- Latipah
Ubah saiz-+=