Dah boleh tonton wayang Jumaat ini

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR 3 Mac. – Kerajaan membenarkan panggung wayang kembali beroperasi di kesemua kawasan yang dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Menurutnya, kebenaran pembukaan semula operasi panggung wayang di kawasan PKPB dan PKPP tertakluk kepada pematuhan semua garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ia meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan.

“FINAS akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa menerusi medium hebahan media dan laman sesawang di www.finas.gov.my,” kata kenyataan tersebut.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan enam negeri PKPB iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan ditukar status kepada PKPP, sementara Perlis kekal berstatus PKPP.

Selain itu, beliau turut memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang ditukar kepada PKPB berkuat kuasa 5 hingga 18 Mac ini, manakala Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak kekal dengan PKPB.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post 86 pelajar sekolah menengah positif dadah dalam tempoh tiga tahun
Next post 10 maut kapal terbang terhempas di Sudan Selatan
Ubah saiz-+=