86 pelajar sekolah menengah positif dadah dalam tempoh tiga tahun

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 3 Mac. – Seramai 86 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di negeri ini dikesan mengambil dadah selepas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menjalankan ujian saringan terhadap 7,249 pelajar dalam tempoh 2018 hingga tahun lalu.

Pengarah AADK negeri, Nazir Mohammad berkata, ujian saringan itu dijalankan di beberapa sekolah di tiga daerah di negeri ini dan mendapati semua pelajar yang positif itu adalah dalam kalangan pelajar Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5.

Katanya, berdasarkan saringan itu, antara dadah yang banyak digunakan adalah dadah jenis syabu.

NAZIR…trend penyalahgunaan dadah kalangan pelajar di negeri ini membimbangkan.

“Senario penagihan dadah dalam kalangan pelajar bagi tempoh tiga tahun bermula 2018 menunjukkan trend membimbangkan biarpun hanya 86 daripada 7,249 pelajar yang menjalani saringan urin, positif dadah.

“Malah, jenis dadah yang diguna amat merisaukan apabila 64 daripada pelajar yang positif dadah itu menggunakan syabu manakala 21 lagi positif dadah ganja dan seorang positif morfin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Seminar Great Teacher Organization (GTO) sempena Hari Antidadah Kebangsaan ke-38 di Studio Melaka Hari Ini (MHI) yang dihoskan Editor Kanan MHI, Muhd Rizanizam Abd Hamid.

Turut menjadi ahli panel dalam seminar itu, Kaunselor Kanan Penjara Kajang, Muhammad Izuddin Ghazali dan Penceramah Bebas yang juga Pelajar Pasca Siswazah Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Farid Mohd Japeri.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kehadiran AADK di sekolah bukan untuk mencari kesalahan pelajar, sebaliknya lebih kepada intervensi awal bagi mencegah salah laku pelajar berkaitan penyalahgunaan dadah.

Katanya, kehadiran AADK di sekolah juga akan menerbitkan perasaan bimbang dalam kalangan anak muda untuk berjinak-jinak dengan dadah.

“Kita juga sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah menerusi pelaksanaan program pendidikan seperti seminar dan pameran.

“Dan yang paling penting keterlibatan guru menerusi seminar yang diadakan seperti GTO ini akan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru untuk menangani permasalahan pelajar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

941
Kongsi :
Previous post JBPM Melaka kenal pasti 12 lokasi panas pembakaran terbuka
Next post Dah boleh tonton wayang Jumaat ini
Ubah saiz-+=