JBPM Melaka kenal pasti 12 lokasi panas pembakaran terbuka

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BUKIT KATIL 3 Mac. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka telah mengenal pasti 12 lokasi panas yang berpotensi menjadi kawasan pembakaran terbuka di negeri ini.

Pengarahnya Abu Obaidat Mohamad berkata, daripada jumlah itu, Jasin menjadi lokasi tumpuan utama memandangkan kebanyakan kawasan di daerah berkenaan mempunyai banyak kawasan tanah gambut.

Ujarnya, kebakaran senang berlaku di kawasan yang bertanah gambut sepanjang musim panas yang berlaku pada awal tahun dengan kejadian terbaru kes kebakaran di sebuah belukar dan ladang kelapa sawit di Kampung Bukit Durian yang mengambil masa dua hari untuk dipadamkan.

ABU OBAIDAT…JBPM Melaka kenal pasti 12 lokasi panas yang berpotensi menjadi kawasan pembakaran terbuka di negeri ini.

“Oleh sebab itu, kita telah menggerakkan sebuah jentera bomba pada setiap hari untuk melakukan rondaan di kesemua lokasi panas yang telah kita senaraikan.

“Dengan cara ini, kita dapat mengesannya lebih awal dan bertindak segera untuk memadamkan kebakaran yang berlaku itu,” ujarnya kita ditemui meninjau proses suntikan vaksin membabitkan anggota bomba di Ibu Pejabat JBPM Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abu Obaidat berkata sejak awal tahun sehingga sekarang, pihaknya menerima 457 panggilan kebakaran membabitkan kawasan kebun dan ladang, hutan serta belukar di negeri ini.

Jumlah itu, merekodkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 539 kes.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati kebanyakan kes pembakaran terbuka berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya barbeku di hutan yang tidak dipadamkan, pembakaran sisa tanaman oleh petani, pembuangan puntung rokok merata-rata dan aktiviti membersihkan halaman rumah dengan membakar sisa-sisa daun kering.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar menghentikan seketika sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran berikutan cuaca panas dijangka berlarutan sehingga pertengahan April depan.

“Ambillah iktibar daripada kejadian kebakaran hutan di Bukit Beruang tahun lalu yang menyebabkan anggota bomba terpaksa mengambil masa lebih dua hari untuk memadamkannya.

“Jadi, kita mohon sangat agar semua penduduk menjaga alam sekitar dan tidak melakukan sebarang pembakaran dengan sengaja. Jika ada terlihat sebarang kebakaran berhampiran kawasan anda, segeralah menghubungi bomba di talian 999,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

670
Kongsi :
Previous post Pekebun Orang Asli rugi RM10,000, pokok pisang dimusnahkan gajah
Next post 86 pelajar sekolah menengah positif dadah dalam tempoh tiga tahun
Ubah saiz-+=