Sorting by

×

‘DAK NOR’ TERIMA ANUGERAH KASIH WANITA CEKAL

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 8 Mac – ‘Dak Nor’ atau nama sebenarnya Nor Komariah Mohd Khalid lourdes Lio menjadi antara wanita kebanggaan Negeri Melaka apabila dinobat sebagai penerima Anugerah Kasih Wanita Cekal.

Anugerah itu diterimanya sempena Hari Wanita Antarabangsa 2025 yang disampaikan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wanita itu yang sebelum ini bergelar asnaf dan merupakan pesakit mental mendapat perhatian ramai apabila kisahnya dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Bertitik tolak daripada itu, nasib Dak Nor berubah apabila ramai yang tampil membantunya bergelar usahawan dan duta produk sehingga dia turut tampil membantu insan lain yang berada dalam kesusahan.

Kejayaan Dak Nor merangkul anugerah tersebut turut mendapat perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf mengucapkan sekalung tahniah kepada wanita dari Duyong itu di atas penganugerahan yang diterima.

“Semoga atas penganugerahan ini menyuntik semangat semua wanita khususnya di negeri Melaka untuk terus mengorak langkah memajukan diri mencapai apa jua yang dilakukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau.

Sementara itu, Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri dalam satu hantaran di laman Facebook, menyifatkan Dak Nor sebagai kebanggaan buat seluruh Keluarga Duyong.

“Tahniah Dak Nor Duyong. Anugerah Kasih Wanita Cekal sempena Hari Wanita Antarabangsa 2025. Kebanggaan keluarga DUYONG saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post MCORP PERGIAT PROMOSI TARIK PELABUR KE TAMAN TEKNOLOGI JERMAN
Next post BANJIR DI MELAKA PULIH, PPS TERAKHIR DITUTUP 5.45 PETANG TADI