Sorting by

×

MCORP PERGIAT PROMOSI TARIK PELABUR KE TAMAN TEKNOLOGI JERMAN

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 8 Mac – Kempen promosi berterusan sedang giat dilakukan Perbadanan Melaka (MCORP) bersama agensi terlibat bagi menarik pelabur untuk bertapak di Taman Teknologi Jerman (GTP) yang terletak di kawasan Bandar Hijau Ayer Keroh.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, GTP merupakan satu kawasan perindustrian baharu yang akan memberi fokus kepada sektor teknologi tinggi dari Jerman dan Eropah.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MCORP memaklumkan, Kerajaan Negeri menyasarkan hampir keseluruhan lot kosong yang terdapat di GTP berjaya dijual dalam tempoh tiga tahun mendatang.

“Hampir separuh daripada lot tanah di kawasan GTP ini adalah milik Kerajaan Negeri di bawah MCORP, jadi kita sedang giat melakukan promosi supaya kawasan perindustrian baharu ini dapat direalisasikan.

“Ini kerana GTP akan menjadi satu ‘benchmark’ sebagai sebuah taman perindustrian yang lebih baik dan memberi tumpuan khusus kepada teknologi tinggi dari Jerman dan rangkaiannya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat MCORP Bagi Bulan Mac 2025 dan Iftar Bersama Kumpulan Syarikat di Hotel MITC, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MCORP Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta ketua-ketua anak syarikat MCORP dan warga kerjanya.

Dalam pada itu, Khaidhirah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim berkata, di kawasan GTP juga akan dibangunkan sebuah pusat latihan TVET yang berfokus kepada pemindahan teknologi dari Jerman.

Jelas beliau, kewujudan pusat latihan itu sekali gus dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam kalangan anak tempatan di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9
Kongsi :
Previous post MASJID SULTAN IBRAHIM ‘BERCAHAYA’ SEPANJANG RAMADAN
Next post ‘DAK NOR’ TERIMA ANUGERAH KASIH WANITA CEKAL