Dalang sindiket dadah di Malim tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KESIDANG 30 Januari – Sindiket pengedaran dadah yang didalangi dua wanita warga Thailand bersama seorang lelaki tempatan tumpas apabila ketiga-tiga mereka diberkas polis, pada Ahad.

Kesemua mereka berusia lingkungan 25 hingga 27 tahun ditahan hasil serbuan di sebuah rumah di Taman Saga, Malim, di sini, kira-kira jam 8.15 malam.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Md. Nazri Zawawi berkata, hasil serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah itu, pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM650,000 berjaya dirampas.

Katanya, antara dadah yang dirampas ialah dari jenis cecair ketamin sebanyak 279,840 mililiter (ml), erimin 5 (551 gram (g), ekstasi (26 g), ketamin (6,734 g), serbuk ketamin (5,250 g) dan serbuk ekstasi (1,224 g).

“Pihak polis turut merampas sepucuk pistol jenis CZ85 H sebuah kereta Proton Saga BLM, serta barang kemas kesemuanya bernilai kira-kira RM39,147 selain wang tunai berjumlah RM803.

“Siasatan mendapati, sindiket ini telah aktif sejak empat bulan lalu dan kesemua dadah dipercayai untuk pasaran tempatan yang boleh digunakan seramai 69,597 penagih,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati kesemua mereka negatif dadah namun seorang mempunyai rekod jenayah lampau.

Menurut beliau, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 4 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

733
Kongsi :
Previous post Seronok cuci mata di Uptown Pahlawan Walk
Next post Anggota polis trafik tular minta wang direman tiga hari
Ubah saiz-+=