DAP ketengah lebih 5 calon baharu dalam PRN Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 3 Nov- DAP dijangka akan mengetengahkan lebih lima calon baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov depan.

Setiausaha DAP negeri, Damian Yeo Shen Li berkata calon-calon terbabit bagaimanapun masih lagi di peringkat penilaian untuk mengenal pasti kriteria dan kredibiliti calon berkenaan untuk menjadi wakil rakyat.

Tambahnya, DAP akan kekal untuk bertanding lapan kerusi yang dimenangi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.

“PRN ini bukan PRN biasa dan sudah lebih lima calon baharu telah memberikan nama, jadi sudah tentu pelbagai proses perlu dilalui bagi meneliti untuk memilih calon yang sesuai dan mempunyai kriteria bertepatan iaitu integriti dan amanah akan dipilih untuk diletakkan di tempat yang sepatutnya.

“Dengan adanya muka baharu itu, akan ada muka lama yang tidak akan bertanding dan calon yang sedia ada mungkin akan berubah kawasan bertanding dalam PRN Melaka ini.

“Kami membeli 18 borang penamaan calon hari ini dan DAP akan bertanding lapan kerusi sahaja, termasuk di Pengkalan Batu, dan saya ingin tegaskan berapa banyak pun penjuru semasa PRN nanti, kami sudah bersedia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membeli borang penamaan calon di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Menara Persekutuan, MITC, di sini hari ini.

DAMIAN (kanan) membeli borang penamaan calon di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Menara Persekutuan, MITC di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Damian berkata di bawah Pakatan Harapan (PH), semua parti sudah bersatu dan telah menyelesaikan pelbagai isu dengan matang selain telah menetapkan berapa kerusi akan di pertandingkan mengikut parti.

“Kita di bawah PH telah bersatu hati dan semua isu seperti pemilihan logo dan kerusi telah selesai malah calon ketua menteri juga sudah dipilih iaitu Adly Zahari,” katanya.

Terdahulu, Majlis Presiden PH memuktamadkan kerusi yang bakal ditandingi dalam PRN Melaka adalah DAP (8), Amanah (9) dan PKR (11), dengan keseluruhannya berjumlah 28 kerusi.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

Pilihan raya itu diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post Satu PPS di Durian Tunggal masih dibuka, dua ditutup
Next post Nak pilih kerajaan tak semudah pilih baju – Sulaiman
Ubah saiz-+=