Nak pilih kerajaan tak semudah pilih baju – Sulaiman

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

MASJID TANAH 3 Nov. – “Kadang-kadang orang kata, kita nak pilih kerajaan ni bukan macam pilih baju, boleh tukar-tukar, jadi pilihlah sebaiknya,” itu kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang menyerahkan kepada rakyat untuk memilih kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, rakyat perlu memilih kerajaan yang stabil dari segenap sudut agar kenikmatan dan kemakmuran yang diterima hari ini dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Katanya, memilih kerajaan diibaratkan seperti memilih pakaian yang perlu dilihat dari segi kualiti dan material supaya mampu bertahan lama.

“Tapi pada saya kalau baju itulah diberi perumpamaan, baju ini hanya untuk dipakai lima tahun, kalau baju itu jenis baju tak tahan material, ia tak bagus, kalau koyak, koyak itulah yang akan dipakai, kalau bocor, bocor itulah yang dipakai, kalau warna (lusuh), warna itu lah yang dipakai.

“Ia tidak boleh merubah apa-apa lagi pun sehinggalah kalau ia boleh bertahan sampai ke lima tahun, kalau tak sampai lima tahun esok, koyak, akhir sekali kita tak berbaju, maknanya kita telah pun dilondehkan.

“Jadi saya maklumkan (rakyat) bahawa pilihlah kerajaan, saya tak cakap mana-mana kerajaan, pilih sebaik-baiknya supaya kenikmatan dan kemakmuran yang kita dapat hari in mesti lebih baik daripada apa yang kita dapat untuk kita wariskan kepada anak-anak cucu kita pada masa hadapan. Itu maksud saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat sebanyak RM200 kepada setiap 150 asnaf di Dewan Japerun Lendu, di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai keyakinan terhadap kedudukan 13 kerusi yang ada ketika ini, beliau mengharapkan perlu mendapat lebih dari jumlah itu untuk membentuk kerajaan.

“Kalau saya boleh katakan kita dapat bertahan yang 13 ini pun, Alhamdulillah. Tapi sudah pasti untuk membentuk kerajaan, kita mesti dapat lebih, jadi terserah kepada rakyat agar pilih kerajaan yang betul-betul, kerajaan itu (perlu) stabil dalam setiap sudut,” katanya.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata jika tidak ada mana-mana parti yang boleh membentuk kerajaan, maka situasi itu menyebabkan negeri berada dalam keadaan tidak stabil.

“Kita ada kerajaan yang telah 60 tahun mengurus dan mentadbir, jadi kalau kita nak bagi yang itu, yang ini kita nak bagi, maka akhirnya keputusan nanti tidak ada mana-mana satu individu parti yang boleh membentuk kerajaan.

“Maka ianya akan berulanglah kerenah, lompat, terjah ke apa seperti yang berlaku pada penggal yang ke-14 ini,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

600
Kongsi :
Previous post DAP ketengah lebih 5 calon baharu dalam PRN Melaka
Next post PRN: Polis Melaka gerak 3,835 anggota, kenal pasti 16 ‘hot spot’
Ubah saiz-+=