Deepavali: Kebajikan masyarakat India Melaka tidak dilupakan
BANDA HILIR 1 November – Peruntukan sejumlah RM200,000 disalurkan Kerajaan Negeri kepada masyarakat India negeri Melaka sempena Deepavali tahun ini.
Ia sekali gus menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri kepada semua kaum di negeri ini, terutama ketika musim perayaan.
Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam berkata, ia terbukti apabila seramai 1,000 masyarakat India terdiri daripada golongan kurang berkemampuan, ibu tunggal dan orang kurang upaya menerima sumbangan berjumlah RM200 setiap satu yang diagih secara berperingkat bermula 30 Oktober.
Sumbangan itu, jelasnya, sekali gus membantu mereka membuat persiapan bagi menyambut perayaan yang turut dikenali sebagai Pesta Cahaya itu minggi depan.
“Saya amat menghargai peranan Kerajaan Negeri dalam membantu masyarakat India bagi menyambut perayaan Deepavali dan ini jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri kepada semua kaum di negeri ini.
“Sumbangan ini akan disalurkan ini kepada kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Melaka dan saya difahamkan wakil-wakil rakyat di DUN masing-masing sedang giat membantu golongan memerlukan ini bagi menyambut Deepavali,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Pesta Deepavali 2023 Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Little India, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri serta tetamu lain.
Mengulas mengenai Pesta Deepavali itu, Shanmugam berkata, ia akan dianjurkan selama 12 hari dalam menambah seri sambutan Deepavali tahun ini, sekali gus membuka peluang peniaga kecil menjana pendapatan.
Katanya, lebih 40 kedai dan gerai ditempatkan di Jalan Bendahara, Little India yang menjual pelbagai barangan untuk perayaan berkenaan dan akan beroperasi sehingga 10 November depan.
“Pesta yang diadakan ini mampu menarik lebih ramai pelancong terutama masyarakat India untuk mendapatkan keperluan menyambut Deepavali.
“Pelbagai tarikan yang mampu menarik pengunjung untuk datang ke kawasan ini di mana selain jualan pelbagai pakaian, makanan tradisi dan pelbagai lagi, pesta ini turut menganjurkan pelbagai acara kebudayaan antaranya nyanyian dan tarian serta cabutan bertuah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.