Sorting by

×

Sasar Program Jualan Agro Madani capai RM100 juta

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 1 November – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai transaksi dihasilkan menerusi Program Jualan Agro Madani seluruh negara sepanjang tahun ini mencapai RM100 juta

Pengarah Kanan Pemasaran Segar FAMA, Shahrizan Sudiman berkata, mengikut perancangan pihaknya mahu menganjurkan 5,000 Program Jualan Agro Madani dan setakat 29 Oktober lalu 3,569 sudah dilaksanakan.

“Program Jualan Agro Madani dimulakan sejak April dan setakat Ahad lalu kita berjaya merekodkan nilai jualan berjumlah RM64 juta. Kita percaya dengan berbaki lebih 1,300 lagi penganjuran sehingga akhir tahun nilai sasaran RM100 juta mampu dicapai.

“Menerusi penganjuran 3,500 siri Program Jualan Agro Madani, ia memberi manfaat kepada 7.1 juta isi rumah, selain penglibatan usahawan juga amat memberangsangkan apabila disertai 54,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Jualan Agro Madani @Cuepacs di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, semalam.

Terdahulu, perasmian program itu disempurnakan oleh Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) Datuk Dr. Adnan Mat.

Shahrizan berkata, program jualan itu di fokuskan pihaknya di tiga lokasi iaitu pejabat kerajaan, taman perumahan berkepadatan tinggi serta dan outlet FAMA seluruh negara.

“Sudah semestinya harga yang kita tawarkan lebih rendah berbanding pasaran iaitu sehingga 25 peratus, ia sesuai dengan objektif kita untuk membantu meringankan beban rakyat.

“Antara barangan yang kita fokuskan pada Program Jualan Agro Madani telur, minyak dan beras termasuk juga ikan, ayam, sayur-sayuran serta buah-buahan,” katanya.

Menurutnya, Program Jualan Agro Madani dicadangkan untuk terus dilaksanakan pada 2024 dengan jangkaan 5,000 penganjuran seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1465
Kongsi :
Previous post Azam lahirkan lebih ramai jaguh e-sukan
Next post Deepavali: Kebajikan masyarakat India Melaka tidak dilupakan
Ubah saiz-+=