Sorting by

×

Tiada lagi caj potong ayam – KPDN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PENGKALAN BATU – Penamatan subsidi dan kawalan harga ayam yang berkuatkuasa 1 November menyaksikan tiada lagi caj potong ayam dikenakan kepada pengguna di seluruh Negeri Melaka.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos sara Hidup (KPDN) negeri, Norena Jaafar berkata, justeru itu pengguna hanya akan dicaj mengikut harga ayam sebenar tanpa ada sebarang caj tambahan bayaran tersembunyi.

“Untuk makluman semua di Negeri Melaka tiada lagi caj pemotongan yang akan dikenakan kepada pembeli seperti sebelum ini.

“Harga yang kita beli misalnya RM8.50 sekilogram itu adalah harga sebenar yang perlu dibayar namun sekiranya ke pasar harga jualan yang ditawarkan boleh dirunding tetapi atas persetujuan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau harga jualan ayam di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang dan pasar raya di Peringgit, hari ini.

Mengulas lanjut, Norena berkata, meskipun tiada lagi kawalan harga ayam, namun penguatkuasaan tetap dijalankan setiap hari oleh pasukan pemantau harga bagi memastikan tiada peniaga yang cuba mengambil kesempatan mengenakan harga terlalu tinggi.

“Penguatkuasaan tetap dijalankan untuk kita memantau dari pagi sampai petang oleh pasukan pemantau yang terdiri daripada 21 pegawai pemantau harga di termasuk penguatkuasa.

“Kita akan tengok sekiranya terdapat harga yang ditawarkan itu meningkat begitu tinggi melebihi RM9.40 sekilogram dan kita mungkin akan kenakan satu serahan notis bagi melihat sekiranya terdapat elemen percatutan atau sebaliknya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

991
Kongsi :
Previous post Deepavali: Kebajikan masyarakat India Melaka tidak dilupakan
Next post Tiada kenaikan harga ayam di Melaka
Ubah saiz-+=