Tiada kenaikan harga ayam di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PENGKALAN BATU – Langkah penamatan subsidi dan kawalan harga bagi ayam yang berkuatkuasa 1 November tidak akan menyebabkan berlaku kenaikan harga mendadak bagi bahan mentah itu.

Perkara itu diakui peniaga ayam di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang yang meminta rakyat negeri ini agar tidak bimbang dan membuat pembelian panik.

Bagi peniaga ayam Muhamad Fauzi Alias, berkata, langkah diambil kerajaan untuk menamatkan subsidi adalah keputusan yang baik untuk penjual dan pembeli.

“Sepanjang 20 tahun berniaga ayam ini adalah kali pertama tiada kawalan bagi harga ayam namun begitu ia bukan ‘lesen’ untuk peniaga meletakkan harga sesuka hati.

“Bekalan ayam sekarang banyak jadi tidak perlu bimbang berlaku kekurangan malah sekiranya peniaga meletakkan harga yang tinggi ia merupakan risiko buat mereka sendiri kerana akan ada banyak persaingan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Whatsapp Image 2023 11 01 At 12.46.34 59e14d8c
Bakhtiar Omar

Menurut seorang lagi peniaga Bakhtiar Omar, berkata, harga ayam di pasaran mungkin tidak menentu kerana ada turun naiknya, namun dia percaya tidak akan berlaku peningkatan harga yang mendadak.

“Walaupun ada turun naik tetapi ia masih terkawal dan sekarang ini tiada lagi subsidi serta kawalan tetapi kami peniaga masih menjual dengan harga berpatutan. Jika terlalu tinggi orang ada pilihan untuk beli di pasaraya,” katanya.

Sementara itu, bagi pengguna Razali Yusop, 72, dia bersetuju dengan langkah diambil kerajaan untuk tidak lagi memberi subsidi kerana selama ini subsidi itu bukan hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia tetapi juga warga asing.

“Sepatutnya subsidi itu hak kita rakyat Malaysia tetapi warga asing ini turut sama dapat. Mereka selama ini turut membeli ayam dengan harga yang sepatutnya untuk kita.

“Oleh itu saya berharap menerusi penjimatan yang diperoleh oleh kerajaan menerusi penamatan subsidi ini ia dapat ditambah kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya.

Whatsapp Image 2023 11 01 At 12.46.34 59e14d8c
Razali Yusop

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1090
Kongsi :
Previous post Tiada lagi caj potong ayam – KPDN Melaka
Next post Pusat beli belah terawal Melaka berwajah baharu
Ubah saiz-+=