Dilayan sebagai ‘banduan 30 minit’ jentik hati pesalah juvana

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDA HILIR 7 Jun – Ada yang meratap tidak kurang ada yang teresak-esak apabila diberi ‘peluang’ menjadi banduan selama 30 minit menerusi Program Sayangi Hidup Derita Selamanya (SHIELDS) peringkat negeri di Muzium Penjara Malaysia Melaka, di sini hari ini.

Ruang penjara sempit selebar lebih kurang lima kaki, beralaskan lantai batu di sebalik tirai besiitu nyata menjentik kesedaran kepada seramai 30 penghuni Asrama Akhlak Bukit Baru dan Sekolah Tunas Bakti.

Melaka Hari Ini difahamkan rata-rata peserta program itu merupakan pesalah juvana yang kini dalam proses rehabilitiasi selepas terjerumus dalam najis dadah sejak di bangku sekolah.

Menerusi program itu, seramai dua atau tiga orang peserta itu akan dimasukkan ke setiap ruang penjara dan dikawal selia oleh petugas Jabatan Penjara Malaysia Melaka persis pengalaman banduan sebenar.

Selain ‘disekolahkan’ petugas, kesemua penghuni juga diarah duduk di lantai sehinggakan ada yang merenung dinding seolah meratap kesedaran daripada apa yang dilakukan sebelum ini.

PESERTA diberi taklimat dan pendedahan mengenai hukuman di penjara. Foto Iqmal Haqim Rosman

Ruang sempit yang hanya mempunyai lubang udara menjadi punca sumber cahaya memberi gambaran menggerunkan dalam suasana penjara lama itu.

Sesekali sebak mata melihat rata-rata anak bangsa yang sepatutnya masih bersekolah itu ditempatkan di sebalik besi.

Namun itulah hakikat sebenar yang perlu dilalui bagi menyedarkan mereka selepas terjerumus ke dalam ‘lembah dosa’.

Program diadakan bermula seawal 9 pagi tadi turut mendedahkan peserta dengan beberapa penekanan termasuk hukuman sebatan yang dikenakan kepada banduan serta pameran hukuman penjara.

Pengarah Muzium Penjara Malaysia Melaka, Mohd Saifullah Md Akhir berkata, program anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka merupakan antara program simulasi penjara yang diadakan pihaknya bagi mendedahkan pengalaman sebenar kepada orang ramai mengenai tatacara hukuman penjara.

Beliau berkata, usaha menjadikan muzium kedua tertua negara sebagai pusat tumpuan akan diteruskan melibatkan semua pihak sekali gus merancakkan pelancongan di negeri ini.

Pengarah Muzium Penjara Malaysia Melaka, Mohd Saifullah Md Akhir. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Alhamdulillah menerusi program yang dirasmikan EXCO Antidadah, Muhamad Akmal Salleh akan dilanjutkan menerusi kerjasama semua pihak.

“Jabatan Penjara Melaka sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi membangunkan muzium ini sekali gus memberi kesedaran kepada orang ramai dalam perkara ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3682
Kongsi :
Previous post Bekas banduan ditahan terlibat curi lapan kenderaan di Cheras
Next post PM Ismail Sabri terima kunjungan hormat pemimpin Huazong
Ubah saiz-+=