Dimensi baharu politik Melaka – Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

MASJID TANAH 29 Okt – Pemilihan muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov depan disifatkan sebagai satu dimensi baharu untuk struktur politik negeri ini.

Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pemilihan calon muda sangat penting kerana ia dapat menjadi langkah awal dalam ‘meremajakan’ parti itu sendiri.

“Kalau letak calon muda pada saya ia akan menarik minat kerana seperti saya katakan, langkah untuk meremajakan parti mesti bermula dari awal.

“Calon-calon (muda) ini juga sesuai dengan zaman yang sedang kita lalui sekarang.

“Lagipun, harapan semua terutama rakyat Melaka itu sendiri mahu melihat satu dimensi baharu dalam politik Melaka yang akan kita lihat pada PRN Melaka itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Villa D’Acqua, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, sebarang keputusan mengenai calon itu bagaimanapun terserah kepada pucuk pimpinan yang akan menilai, menyaring dan menentukan calon yang bersesuaian.

“Apapun, saya melihat ia satu langkah yang baik sekiranya parti telah menyaring dan membuat pertimbangan untuk memilih calon muda yang diyakini boleh memenangi hati rakyat.

“Saya sangat berharap orang muda bersedia untuk mewarisi perjuangan ini dengen mengetengahkan mereka sebagai pemimpin sewaktu PRN yang akan datang,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu akan menampilkan ramai calon muka baharu yang terdiri dalam kalangan anak muda pada PRN Melaka.

Kata-kata itu diungkapkan ketika beliau berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera BN Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

582
Kongsi :
Previous post UMNO serah PAS tentukan
Next post PN tidak pernah tunggu sesiapa – Mohd Rafiq
Ubah saiz-+=