Dodol cair, wajik buah tangan untuk pengunjung karnival kerjaya

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER LIMAU 6 Julai – Lima kawah dodol cair dan satu kawah wajik dimasak secara bergotong-royong anggota komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau memeriahkan lagi penganjuran Karnival Kerjaya Anak Muda DUN berkenaan.

Turut mencuba mengacau dodol ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer pada program berlangsung di Dewan Tan Sri Abu Seman, di sini, 3 Julai lalu.

Keenakan makanan tradisi itu turut dinikmati EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang merasmikan program berkenaan.

Hameed berkata, selain mengekalkan kaedah memasak makanan tradisi, acara mengacau dodol juga mampu mengeratkan silaturahim dan memperkukuh kerjasama anggota komuniti di DUN berkenaan.

“Alhamdulillah, lima kawah dodol cair dan satu kawah wajik berjaya disiapkan sebelum diedarkan kepada pengunjung.

“InsyaAllah aktiviti mengacau dodol akan diteruskan dalam program pada masa depan kerana ia memberi peluang untuk masyarakat setempat saling memberikan pandangan bagaimana kita mampu memajukan lagi DUN Ayer Limau,” katanya.

Seramai kira-kira 1,500 hadirin menyertai karnival berkenaan, terutama belia yang berusaha mendapatkan pekerjaan.

Sementara itu bagi peserta Norini Isha, 56, berkata satu daripada lima kawah dodol berkenaan dibuat dengan kaedah mengisar beras pulut dengan air manakala empat lagi kawah dengan kaedah mengisar beras pulut tanpa air.

“Jika kita menggunakan beras pulut yang dikisar dengan air, tidak perlu memasukkan air semasa memasak dan mengacau dodol dan begitu sebaliknya bagi beras pulut yang dikisar tanpa air,” katanya.

Selain lapan kilogram (kg) beras pulut yang sudah dikisar bagi setiap kawah, mereka turut menggunakan enam kg santan dan 30 kg gula Melaka serta 16 kg gula pasir bagi setiap kawah.

Peserta dibahagikan kepada 10 orang bagi setiap kawah dan tempoh yang diperlukan sebelum dodol cair sedia dijamah adalah antara dua hingga dua setengah jam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1530
Kongsi :
Previous post Jenazah tiga mangsa banjir di Baling selamat dikebumikan
Next post Tajuk-Tajuk Utama Akhbar: Rabu 6 Julai 2022
Ubah saiz-+=