‘Doktor’ dipercayai pembekal dadah ke pusat hiburan ditahan

JOHOR BAHRU, 22 Jan – Polis Johor menahan 78 individu termasuk seorang lelaki warga asing yang dikenali sebagai ‘doktor’, dipercayai menjadi pembekal dadah ke pusat-pusat hiburan dalam satu operasi khas di daerah Batu Pahat dan Kluang, pagi semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata selain warga asing berusia 32 tahun itu, turut ditahan 55 lelaki tempatan, 15 wanita tempatan, dua lelaki warga asing dan lima wanita warga asing berumur lingkungan 16 hingga 68 tahun, atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata tangkapan itu hasil pemeriksaan terhadap 246 individu di tiga pusat di dua daerah berkenaan, sekitar pukul 1 hingga 3 pagi Sabtu.

“Hasil saringan urin mendapati 68 individu terdiri daripada 49 lelaki dan 19 wanita positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), methamphetamin dan ketamin.

“Dalam serbuan ini, polis berjaya merampas dadah dengan nilai RM261,797.65. Anggaran berat dadah yang dirampas ialah 3.43 kilogram (kg) serbuk ecstacy; 417.08 (gram) ketamin; 423.23 gram (1,368 biji) pil ekstasicstacy dan 83.64 gram (300 biji) pil Eramin 5,” kata beliau.

Kamarul Zaman berkata jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan 15,206 penagih.

Beliau berkata pihaknya turut menyita sebuah kereta serta menemui wang tunai berjumlah RM31,218.

“Selain itu, dua daripada pusat hiburan terbabit gagal mengemukakan lesen perniagaan dan hiburan yang sah, manakala sebuah lagi didapati beroperasi lebih masa daripada yang dibenarkan pihak berkuasa tempatan.

“Kesemua individu berkenaan direman antara satu hingga enam hari bermula 21 hingga 26 Jan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 6(2) dan Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor 4/98,” katanya.

Kamarul Zaman berkata dari 1 hingga 20 Jan lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah menahan 1,078 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 602.66kg dadah dengan nilai RM3.98 juta serta menyita harta bernilai RM1.71 juta.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Previous post MCMC sekat 1.8 bilion panggilan ‘scam’ sejak 2017 hingga 2022 – Fahmi
Next post Tahun Baharu Cina disambut meriah di seluruh negara