DUN Merlimau: Dr Akmal hadiahkan televisyen baharu kepada pasangan suami isteri

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

MERLIMAU 29 April – Rasa simpati akan nasib golongan memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh menghadiahkan sebuah televisyen baharu kepada pasangan suami isteri, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, hadiah itu merupakan sesuatu yang tidak disangka mahupun dirancang, sebaliknya ia terjadi secara kebetulan apabila melihat sepasang suami isteri yang sedang asyik melihat televisyen di sebuah kedai elektrik.

Beliau kemudiannya cuba memberanikan diri menyapa pasangan suami isteri itu untuk mengetahui kisah mereka.

“Tadi singgah kejap di kedai elektrik perasan ada satu pasangan tengah tengok televisyen yang dipamerkan. Setiap kali pasangan tersebut tanya pada tauke kedai tentang harga pastinya mereka terdiam seperti tengah buat kira-kira dalam pemikiran.

“Saya beranikan diri tanya rumah di mana untuk memulakan perbualan, rupanya mereka nak belikan televisyen untuk anak-anak di rumah kerana televisyen yang ada sudah uzur, anak-anak selalu tanya bila boleh dapat televisyen baru, tetapi bajet yang ada tidak cukup untuk mereka beli.

“Jadi saya nak kongsikan kegembiraan di hari raya ni kita belanja anak-anak akak Munirah dan abang Azman televisyen baru supaya mereka boleh rasa kegembiraan seperti yang pernah saya rasa dahulu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Katanya, kisah itu seolah-olah mengimbau kenangannya sewaktu kecil yang tidak mempunyai televisyen hampir dua tahun.

“Teringat masa saya kecil dulu, rumah kami hampir dua tahun tiada televisyen sebab rosak…ketika itu selalu tanya mak dan ayah bila nak dapat televisyen baru macam kawan-kawan yang lain.

“Sedih bila terkenangkan zaman kami dahulu bila ayah belikan televisyen baru rasa gembira sampai melompat-lompat sebab akhirnya dapat tengok televisyen macam kawan-kawan lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1382
Kongsi :
Previous post Senarai Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Melaka, Speaker DUN, EXCO dan ADUN Melaka
Next post Kes pukul di sekolah: 13 pelajar dibebas dengan jaminan polis
Ubah saiz-+=