Dr Amalina pilih Alex sebagai teman hidup

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MELAKA 3 Apr. – Pakar bedah kelahiran Malaysia Dr Amalina Che Bakri selamat bergelar isteri kepada Alexander Charles pada 31 Mac lalu.

Menerusi entri di Instagram, anak jati Kota Bharu Kelantan itu memaklumkan majlis perkahwinan yang berlangsung serba ringkas itu diadakan di Masjid Central London.

Dr Amalina yang sebelum ini pernah memegang rekod sebagai individu pertama meraih keputusan 17 A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menzahirkan rasa syukur apabila majlis yang tiga kali tertangguh itu akhirnya dapat direalisasikan.

“Alhamdulillah, majlis pernikahan kami selesai diadakan di Masjid Central London pada 31 Mac lalu. Meskipun tiga kali tertangguh berikutan ‘lockdown’ (di United Kingdom), namun kami lega apabila berjaya mengadakan majlis ringkas dengan dihadiri teman rapat dan ahli keluarga yang mana hanya enam tetamu dibenarkan mengikut peraturan ditetapkan.

“Mengikut perancangan asal, kami ingin mengadakan majlis di Malaysia pada Mac lalu, manakala resepsi di London pula pada Jun depan. Namun, kami terpaksa menunda majlis resepsi ke satu tarikh lain bagi memastikan ramai tetamu dapat hadir.

“Kami tidak sabar meraikan hari yang cukup istimewa bersama keluarga tersayang dan rakan-rakan,” tulisnya.

Dalam perkongsian yang dimuat naik tengah malam tadi, Dr Amalina memuat naik keping fotonya bersama suami di sebuah taman.
Dia turut memuat naik beberapa keping gambar lagi beberapa jam selepas itu.

Dr Amalina dilihat menggayakan busana berwarna putih Cosry, manakala suaminya yang mesra dengan panggilan Alex memakai sut lengkap berwarna hitam dipadankan dengan kemeja putih.

Sementara itu, New Straits Times melaporkan, Dr Amalina turut meluahkan rasa sedih apabila ibunya, Sabariah Hassan tidak dapat hadir menyaksikan hari bahagianya ekoran syarat ketat untuk ke luar negara.

Bagaimanapun, Dr Amalina berkata, dia mengambil inisiatif untuk mengabadikan kenangan indah bersama ibunya menerusi aplikasi FaceTime.

“Saya gembira upacara akad nikah dapat disaksikan ibu menerusi FaceTime. Saya dan suami berharap dapat mengadakan majlis resepsi apabila berpeluang pulang ke Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

832
Kongsi :
Previous post MUBARAK Melaka kumpul RM50,000 bantu Rumah Anak-Anak Yatim Darul Aitam
Next post Dulu nakal, kini belia ’emas’
Ubah saiz-+=