MUBARAK Melaka kumpul RM50,000 bantu Rumah Anak-Anak Yatim Darul Aitam

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

PERNU 3 Apr. – Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Negeri Melaka mengumpul dana berjumlah RM50,000 bagi membantu Rumah Anak-anak Yatim Darul Aitam, Bukit Pegoh, di sini.

Yang Dipertuanya Datuk Nazari Adzim berkata, dana itu hasil sumbangan orang ramai termasuk kenalan dalam kerajaan serta ahli-ahli perniagaan menerusi Program Jiwa Murni yang dianjurkan pihaknya.

Beliau berkata, usaha itu dilakukan bertepatan dengan slogan MUBARAK untuk terus berkhidmat kepada masyarakat walaupun tidak lagi mempunyai jawatan dalam kerajaan.

“Alhamdulillah walaupun dalam situasi pandemik COVID-19, nilai sumbangan yang diperolehi melebihi sasaran awal dan kita memilih Rumah Anak-anak Yatim Darul Aitam untuk menerima sumbangan ini.

“Ini merupakan peringkat pertama sumbangan untuk membantu 60 anak yatim yang ada di sini dan selepas ini untuk peringkat kedua, kita akan mencari dana membabitkan aspek fasiliti rumah anak yatim ini kerana aspek keselamatan penghuni juga harus dititikberatkan,” katanya yang ditemui selepas Program Jiwa Murni MUBARAK Negeri Melaka 2021, di sini.

NAZARI…dana dikumpul hasil sumbangan orang ramai termasuk kenalan dalam kerajaan serta ahli-ahli perniagaan menerusi Program Jiwa Murni dianjurkan pihaknya.

Majlis itu disempurnakan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam dan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad.

Dalam pada itu, Nazari yang juga bekas ADUN Merlimau berkata, MUBARAK Melaka yang ditubuhkan sejak 1999 sehingga kini masih aktif dalam aktiviti kebajikan khususnya membabitkan program ziarah ahli-ahli atau bekas wakil rakyat yang sudah uzur.

Selain itu, katanya, pihaknya turut mengadakan Program Mutiara MUBARAK Melaka iaitu program anak angkat yang bertujuan membimbing anak-anak berusia 13 tahun dan ke atas ke arah kejayaan.

Jelasnya, sehingga kini seramai 70 anak angkat berada di bawah pemantauan MUBARAK Melaka merangkumi anak-anak di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini.

“Kita mahu melihat anak-anak ini mencapai kejayaan walau apa jua bidang yang dipilih mereka kelak.

“Pada masa sama, kita turut mengimpikan agar ada antara anak-anak ini mendapat jawatan tertinggi dalam kerajaan termasuk menjadi Ketua Menteri suatu hari nanti,” katanya.

nuha datuk hj idris.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1443
Kongsi :
Previous post Gajah liar ‘naik minyak’, pijak mati lembu dan musnahkan tanaman
Next post Dr Amalina pilih Alex sebagai teman hidup
Ubah saiz-+=