Dua beranak antara ditahan bersama RM2.5 juta dadah jenis syabu

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 29 Sept. – Polis Melaka berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dipercayai jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM2.5 juta selepas menahan tiga lelaki termasuk dua beranak dalam dua serbuan berasingan di sini dan Pontian, Johor Jumaat lalu.

Serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Melaka antara jam 7.30 hingga 8.30 malam itu menahan tiga suspek berusia 27 hingga 56 tahun di Klebang Kecil dan sekitar Pontian, Johor.

Ketua JSJN negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, hasil risikan sepasukan polis menahan dua beranak 56 tahun dan 27 tahun di tempat parkir kereta sebuah pangsapuri di Klebang Kecil, manakala seorang lagi suspek berusia 49 tahun ditahan di Benut, Pontian.

Katanya, siasatan lanjut membawa kepada penemuan 50 bungkusan serbuk teh mengandungi dadah jenis methamphetamine yang diiisi dalam beg yang diletakkan dalam but kereta serta tempat duduk penumpang belakang dalam dua kereta berasingan dipercayai milik dua beranak itu.

“Semua bungkusan dadah yang dirampas itu dianggarkan seberat 51.84 kilogram (kg) bernilai RM2.5 juta, manakala nilai keseluruhan sitaan bagi kedua-dua kereta adalah sebanyak RM45,500.

“Siasatan lanjut mendapati semua dadah berkenaan disyaki diedarkan di pasaran tempatan dan negara jiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata pemeriksaan lanjut mendapati dua beranak itu masing-masing mempunyai 10 rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi suspek mempunyai lapan rekod lampau, yang kesemuanya membabitkan jenayah dan dadah.

“Semua suspek direman tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Views:

497
Kongsi :
Previous post Gotong royong basmi Aedes 3 Oktober depan
Next post RM1,482,000 sagu hati buat nelayan berdaftar
Ubah saiz-+=