RM1,482,000 sagu hati buat nelayan berdaftar

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PENGKALAN BATU 29 Sept. – Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1,482,000 bayaran sagu hati ‘one-off’ kepada 1,126 nelayan berdaftar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, ia bagi meringankan beban nelayan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, penerima itu terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India dan Portugis yang mengusahakan peralatan tradisional untuk menangkap ikan di laut.

“Jumlah ini termasuk 546 nelayan di Daerah Melaka Tengah, manakala seramai 580 nelayan Daerah Alor Gajah dan Jasin telah menerima bayaran sagu hati ini pada sebelah pagi.

“Bayaran ini terbahagi kepada empat fasa iaitu fasa pertama pada hari ini, fasa kedua bulan November, fasa ketiga bulan Februari 2021 dan fasa keempat bulan Mei 2021.

“Jumlah yang akan diterima nelayan adalah RM2,000 kepada pemilik sampan dan RM250 kepada awak-awak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bayaran Sagu hati Khas One-Off kepada Nelayan Negeri Melaka di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pengkalan Batu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Melaka Mohd Fauzi Salehon dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Negeri Melaka Rosli Mustapa.

Tambah Norhizam, bagaimanapun permohonan bantuan Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM131,580.

“Di Melaka terdapat 11 penternak akuakultur melibatkan tujuh penternak di Daerah Alor Gajah, dua penternak Daerah Melaka Tengah dan dua penternak di Daerah Jasin.

“Pada masa sama, kita cuba bantu nelayan yang tidak berlesen, saya sebagai Exco akan dapatkan lesen untuk mereka bagi menghalalkan mereka ke laut supaya mereka tak kena saman atau denda,” katanya.

Views:

539
Kongsi :
Previous post Dua beranak antara ditahan bersama RM2.5 juta dadah jenis syabu
Next post Festival Kuih Bulan BPP pada 3 Oktober depan
Ubah saiz-+=