Dua bulan tiada stok ubat demam

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

BATU BERENDAM 1 Ogos – Beberapa jenis ubat-ubatan dikesan mengalami kekurangan bekalan di pasaran, dipercayai berikutan kegagalan pembekal dari luar negara menghantar bekalan ubat seperti dijadualkan.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di beberapa farmasi dan kedai runcit hari ini mendapati antara ubat yang didakwa mengalami kekurangan adalah ubat batuk, demam (parasetamol) dan selesema yang menjadi ubatan penting untuk rawatan harian pesakit.

Pemilik Farmasi Krubong, Azraan Zakariah, 33 mendakwa hampir dua bulan farmasinya tidak menerima bekalan Panadol biarpun sudah membuat tempahan seperti biasa.

“Masalah stok paracetamol terutama jenama Panadol, ubat batuk dan selesema memang ada masalah daripada pihak pembekal, kita ada banyak syarikat pembekal ubat tapi kebanyakannya tiada stok.

“Lebih sebulan tiada stok Panadol mungkin sebab banyak kes influenza, orang ramai demam jadi permintaan terlalu banyak dan stok sedia ada tidak mencukupi.

“Kedua isunya dari segi import bahan mentah, syarikat tempatan yang menghasilkan ubat tidak dapat membuat bekalan, jadi akan memberi kesan kepada penjual seperti farmasi dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di farmasinya cawangan Batu Berendam, hari ini.

AZRAAN

Katanya, sebelum ini bekalan ubat di farmasi boleh tahan sehingga dua bulan, namun kini bekalan tersebut hanya mampu bertahan selama tiga hari.

“Permintaan meningkat sehingga 40 peratus bagaimanapun kita tidak hadkan pembelian kepada pengguna, kalau ada pihak klinik yang mahu dapatkan bekalan baru kita hadkan bagi mengutamakan keperluan pelanggan dahulu,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai runcit, Lee Meng Cheng, 47, turut meluahkan perkara sama yang mana sehingga hari ini dia sukar untuk mendapatkan bekalan panadol untuk dijual di kedainya.

Meng Cheng

“Ramai pelanggan datang kedai nak beli ubat, tapi apa boleh buat sudah lama saya tidak terima bekalan di kedai, saya dah ‘order’ pada pembekal tapi mereka cakap tiada stok.

“Sekarang ini musim demam, susah juga kalau nak dapatkan bekalan ubat tapi tiada, jadi memang kena cari inisiatif sendiri di mana boleh beli ubat ini,” katanya yang berniaga hampir tujuh tahun di Sungai Putat.

Manakala, pengguna Abdul Jalil Jamal, 44, ketika ditemui berharap supaya bekalan ubat-ubatan di negeri ini mencukupi memandangkan kewujudan pelbagai penyakit berjangkit.

“Sekarang ini memang agak sukar nak cari ubat di mana-mana kedai kerana banyak yang sudah tiada stok.

“Biasanya kalau tanya kedai mereka hanya boleh cakap tidak dapat stok daripada pembekal melainkan kita pergi hospital untuk dapatkan ubat-ubatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2335
Kongsi :
Previous post Polis sahkan penemuan objek dipercayai bahagian roket
Next post 28 lelaki leka sabung ayam dicekup
Ubah saiz-+=