28 lelaki leka sabung ayam dicekup

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

DUYONG 1 Ogos – Keasyikan sekumpulan 28 lelaki yang dipercayai melakukan aktiviti sabung ayam terjerat selepas kesemua mereka ditahan polis dalam serbuan yang dilakukan di Duyong, di sini, awal pagi Isnin.

Kesemua mereka termasuk dua penjawat awam ditahan kira-kira jam 1.45 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua yang ditahan itu berusia antara 25 hingga 66 tahun termasuk dua penjawat awam masing-masing 40 dan 60-an.

Beliau berkata, ketika serbuan kesemua mereka dipercayai menjalankan aktiviti sabung ayam di dalam sebuah kebun yang dijadikan lokasi sejak lima bulan lalu.

“Mereka ini dipercayai aktif sejak lima bulan lalu dan aktiviti itu dianjurkan setiap hujung minggu iaitu pada minggu pertama serta keempat bermula jam 10 malam hingga 4 pagi.

“Ia dijalankan di tanah persendirian ini bagi mengelak daripada dihidu pihak berkuasa malah hebahan dibuat juga secara lisan dalam kalangan kenalan,” katanya.

Menurutnya, selain tangkapan pihaknya turut melakukan rampasan peralatan yang digunakan termasuk wang pertaruhan sabung ayam itu.

“Sejumlah kira-kira RM11,000 dipercayai pertaruhan dirampas oleh pihak polis.

“Siasatan dilakukan juga mendapati pertaruhan membabitkan jumlah antara RM110 hingga RM550 untuk sekali pertaruhan,” katanya.

Christopher berkata, kesemua yang ditahan itu kini direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1952 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1538
Kongsi :
Previous post Dua bulan tiada stok ubat demam
Next post Rohana terpilih di bawah Program Anak Emas UTeM
Ubah saiz-+=