Rohana terpilih di bawah Program Anak Emas UTeM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

DURIAN TUNGGAL 1 Ogos- Bukan hanya dipilih melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) malah Rohana Abdullah, 22, yang dibesarkan ibu angkat berlainan agama sejak berusia dua bulan turut turut diletakkan di bawah Program Anak Emas UTeM.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, tawaran pihaknya kepada Rohana dibuat memandangkan gadis itu mempunyai kelayakan untuk menyambung pengajian di peringkat diploma di bawah jurusan Sains Komputer di universiti teknikal itu.

“Keputusan Rohana di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membolehkan dia ditawarkan ke UTeM, dia ada kelayakan yang boleh untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi. Kita UTeM hanya satu platform kepada dia untuk memberi peluang untuk diketengahkan.

“Di bawah Program Anak Emas UTeM selain membiayai kos pembelajaran Rohana, kita juga akan berikan wang untuk sara hidup walaupun tidak banyak tetapi diharap ia dapat membantu perbelanjaannya,” katanya.

Massila berkata demikian ketika ditemui pada sesi pendaftaran pelajar diploma yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, hari ini.

Menurutnya, pihak UTeM berharap Rohana tidak mensia-siakan peluang ini selain dapat menyambung pengajian ke peringkat tertinggi dan tidak terhenti di peringkat diploma.

“Kita harap dia gembira dengan UTeM dan dapat teruskan bukan sahaja di peringkat diploma malah ke lebih tinggi demi masa depannya, selain itu saya juga berharap dia dapat menyesuaikan diri dan aktif sebagai pelajar.

“Insya-Allah kami di pihak UTeM akan bantu yang terbaik malah dua Canselor kita juga begitu prihatin terhadap kebajikan pelajarnya jadi sekiranya Rohana ada berdepan masalah dia boleh berjumpa untuk kongsikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2177
Kongsi :
Previous post 28 lelaki leka sabung ayam dicekup
Next post Ibu ‘pergi’ sewaktu terima keputusan cemerlang SPM
Ubah saiz-+=