Dua kanak-kanak parah kereta rempuh pokok

Masa Membaca:59 Saat

ALOR GAJAH 31 Dis – Empat sekeluarga cedera termasuk dua parah apabila kereta dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas merempuh sebatang pokok dalam kemalangan di Jalan Kampung Pulau Semut, Tanjung Bidara di sini.

Dalam kejadian pada jam 9.42 pagi itu, pemandu yang bertugas sebagai anggota tentera berusia 34 tahun bersama isterinya berusia 30 tahun manakala dua anak lelaki mereka masing-masing berusia tiga dan lima tahun parah.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari rumah mereka di Solok Mangga menghala ke pekan Masjid Tanah.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu kereta gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan sebelah kanan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan isterinya cedera ringan manakala dua anak lelaki mereka parah termasuk patah kaki kanan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata semua mangsa dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan lanjut.

Jelasnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan berkenaan lurus dan mempunyai satu lorong manakala cuaca hujan ketika kemalangan itu berlaku.

“Siasatan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

969
Kongsi :
Previous post Kilang ingkar arahan tutup kena kompaun – Exco
Next post Ayam, telur, sawi turun harga esok – KPDNHEP
Ubah saiz-+=