Kilang ingkar arahan tutup kena kompaun – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

JASIN 31 Dis – Padah ingkar arahan Notis Perintah Tutup Premis dengan mengarahkan pekerjanya hadir bekerja, sebuah kilang di daerah ini dikompaun pihak berkuasa.

Tindakan kilang itu yang didakwa mengabaikan arahan susulan berlakunya penularan wabak COVID-19 dikesan apabila ada diantara pekerja yang membuat aduan sebelum pemeriksaan mengejut dilakukan.

Exco Kesihatan Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kilang berkenaan yang mempunyai kira-kira 170 pekerja berkenaan diarahkan tutup selama tujuh hari bermula semalam sehingga 5 Januari 2022 apabila seramai 30 pekerjanya didapati positif COVID-19.

Katanya, walaupun sudah dikeluarkan notis oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin, kilang itu didakwa memintanya pekerjanya yang menjadi kontak rapat untuk hadir bekerja dan tindakan itu menimbulkan kebimbangan sehingga ada diantara mereka membuat aduan.

“Susulan, itu hanya 28 pekerja di bahagian pentadbiran dibenarkan hadir ke pejabat kerana meraka terpisah daripada bahagian pengeluaran serta pemandu.

“Manakala, kira-kira 112 orang pekerja yang dikenal pasti sebagai kontak rapat diarahkan jalani kuarantin tetapi ada diantara mereka dikatakan diminta untuk bekerja,” katanya ketika di temui selepas membuat pemeriksaan mengejut di premis itu, hari ini.

PEKERJA menjalankan kerja sanitasi berikutan seramai 30 pekerja di sebuah kilang di Merlimau didapati positif COVID-19. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata, kerajaan negeri bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tegas keatas mana-mana industri yang didapati bertindak melanggar arahan penutupan premis.

“Kesalahan ini tidak boleh dimaafkan, tindakan berat dan mahkamah boleh diambil kepada mereka ini. Dalam mengekang wabak ini ia bukan hanya tugas KKM tetapi semua pihak.

“Alasan mengatakan pelanggan mendesak serta sebagainya tidak boleh diterima pakai kerana kita sudah berada dalam pandemik ini sudah hampir tiga tahun dan ini membabitkan keselamatan banyak pihak,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, susulan itu kesemua kontak rapat kilang berkenaan diminta hadir ke PKD untuk dipakaikan gelang merah jambu serta dikenakan kompaun dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

504
Kongsi :
Previous post Baik pulih tebing runtuh elak banjir berulang
Next post Dua kanak-kanak parah kereta rempuh pokok
Ubah saiz-+=