Baik pulih tebing runtuh elak banjir berulang

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER LIMAU 31 Dis – Tebing Sungai Rembau yang runtuh dan menyebabkan banjir besar di Lubok China, di sini pada 18 Disember lalu mula dibaik pulih bagi mengelakkan bencana itu berulang.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil langkah drastik menjalankan kerja pembaikan tebing berkenaan sejak semalam.

Pengarah JPS Melaka, Abdul Hakim Hamzah berkata, hujan lebat di hulu Sungai Rembau menyebabkan aliran sungai menjadi deras dan meruntuhkan tebing berkenaan pada 18 Disember lalu.

“Akibat paras air naik mendadak dan arus terlalu deras, tebing sungai tidak dapat menampung kuantiti air, lalu runtuh.

“Aliran air yang deras masuk ke Kampung Telok Berembang dan menyebabkan kebanyakan kediaman penduduk dinaiki air lebih dua meter dan amat berbahaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menjelaskan, kerja pembinaan semula tebing sungai itu membabitkan kerja membina sangkar batu atau ‘gabion,’ sepanjang 100 meter.

Katanya, kerja-kerja itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan, sekali gus membantu mengelak banjir besar berulang lagi.

YUSOF Hassan, 72. Foto Din Ahmad

Sementara itu, mangsa banjir di Kampung Telok Berembang, Yusof Hassan, 72, berkata dia hanya mengetahui tebing di kawasan itu runtuh pada 19 Dis, iaitu selepas banjir mulai surut.

Katanya, tindakan segera JPS membina semula tebing sungai memberi harapan kepada penduduk kampung banjir besar seumpama itu mampu dielakkan daripada berulang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1193
Kongsi :
Previous post Op Gegar: 35 individu ditahan di pusat hiburan
Next post Kilang ingkar arahan tutup kena kompaun – Exco
Ubah saiz-+=