Dua kapal pindah minyak secara haram ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LINGGI 27 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menahan dua kapal dipercayai melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Tanjung Dahan, dekat sini petang semalam.

Pengarah Maritimnya, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pusat operasi memaklumkan terdapat aktiviti mencurigakan dikesan pada kedudukan tiga batu nautika selatan perairan itu.

Katanya, selepas diatur gerak ke kawasan terbabit, pihaknya mendapati kedua-dua kapal terbabit merapat antara satu sama lain disyaki melakukan aktiviti pemindahan dari kapal ke kapal (STS).

“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal tangki sedang memindahkan kargo minyak disyaki minyak mentah kepada sebuah kapal tangki yang lain tanpa sebarang dokumen kebenaran.

“Kapal tangki pertama sepanjang 60 meter yang berdaftar di Panama itu dikendalikan oleh 26 kru, antaranya warga China, Sri Lanka dan Myanmar ditahan kira-kira jam 4.30 petang.

“Manakala kapal tangki kedua dengan panjang 43 meter yang didaftarkan di Palau dikendalikan oleh 22 kru terdiri daripada warga Rusia, Georgia, Latvia dan Indonesia itu ditahan satu jam setengah kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kedua-dua kapal itu disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran.

“Kedua-dua kapal itu turut disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) OPS 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran,” katanya.

Mohd Khairi berkata Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan sentiasa melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan agar komuniti laut sentiasa patuh kepada undang-undang ditetapkan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumkan mengenai ssalah laku dan kecemasan di laut boleh melaporkan ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS999 yang beroperasi secara 24 jam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

313
Kongsi :
Previous post Pengarah restoran mamak didenda RM15,000 miliki barang kawalan lebih kuantiti
Next post Main bola sepak di padang awam kena caj RM80?
Ubah saiz-+=