Dua kolej vokasional cetus kluster COVID-19 di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

MERLIMAU 19 Jan – Melaka merekodkan dua kluster baharu COVID-19 membabitkan dua buah kolej vokasional di daerah Melaka Tengah dan Jasin.

Exco Kesihatan Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, dua kluster itu ialah Kluster Jalan Tun Telani dan Kluster Kemendor.

Menurut beliau, Kluster Jalan Tun Telani membabitkan Kolej Vokasional Melaka Tengah kini merekodkan seramai 76 kes positif COVID-19.

“Kluster ini tercetus menerusi seorang pelajar perempuan yang disahkan positif setelah menjalani ujian saringan kendiri.

“Ia dikesan setelah kebenaran kemasukan pelajar asrama pada 9 Jan dan didapati mula bergejala pada 11 Jan lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Japerun Merlimau, di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas saringan kontak rapat dijalankan, seramai 176 kontak rapat telah dikenalpasti dan 76 daripadanya telah disahkan positif COVID-19 membabitkan 71 pelajar lelaki dan lima perempuan.

Justeru, katanya, semua warga kolej berkenaan diarah menjalani perintah kuarantin dan pelajar yang positif telah dibawa ke Pusat Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) MITC.

“Arahan penutupan kolej telah dikeluarkan bermula 14 hingga 21 Januari depan dan dijangka kluster tamat pada 22 Jan ini.

“Kita mengesyaki penularan ini berkemungkinan disebabkan kurangnya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berikutan faktor kedudukan asrama pelajar dan cara berinteraksi sepanjang proses pembelajaran, selain kantin pelajar juga menggunakan kaedah bufet.

“Kita sedang menyiasat perkara ini berkemungkinan jangkitan ini berpunca dari sporadik bagaimanapun 99 peratus warga kolej itu telah menerima dos lengkap vaksin membuatkan rata-rata risiko jangkitan berada pada tahap satu dan dua,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Akmal berkata, bagi Kluster Kemendor di daerah Jasin pula, ia membabitkan 11 pelajar Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin positif COVID-19 buat masa ini.

Menurutnya, kluster itu tercetus menerusi seorang pelajar perempuan yang mendaftar masuk pada tarikh sama dan bergejala selepas tiga hari berikutnya.

Ia kemudiannya menular membabitkan rakan sebilik di asrama yang sama.

“Seramai 536 pelajar termasuk tenaga pengajar dan kakitangan kolej itu telah menjalani ujian saringan dan 33 individu masih menunggu keputusan manakala selebihnya negatif dan masih dikuarantin.

“Kita menjangkakan akan berlaku peningkatan dalam penularan di kolej ini, namun kita mohon ibu bapa tidak perlu khuatir akan perkara ini kerana mereka telah divaksin kerana keadaan masih lagi terkawal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

509
Kongsi :
Previous post ‘Terima kasih pengusaha tomyam bantu mangsa banjir’ – KM
Next post Tindakan segera baiki kerosakan projek perumahan Taman Bukit Tambun Perdana
Ubah saiz-+=