Tindakan segera baiki kerosakan projek perumahan Taman Bukit Tambun Perdana

Masa Membaca:49 Saat

AYER KEROH 19 Jan – Keluhan pembeli Rumah Mampu Milik (RMM) Taman Bukit Tambun Perdana, Durian Tunggal, berhubung kerosakan pada kediaman mereka mendapat perhatian kerajaan negeri dan Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Pengarah Eksekutif LPM Mohd Salleh Hamidom berkata, mesyuarat dan perjumpaan dengan pihak berkenaan membabitkan wakil pembeli serta pemaju yang turut dihadiri Exco Perumahan Datuk Zaidi Atan juga sudah diadakan.

Beliau berkata, perjumpaan itu bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian berhubung masalah pembeli.

“Kerosakan pada struktur kediaman pembeli seperti keretakan pada dinding dan mendapan tanah akan dibaik pulih serta diselenggara.

“LPM juga akan melakukan pemantauan, kesemua unit rumah terjejas masih dalam tempoh dan tanggungan pihak pemaju,” katanya.

Mohd Salleh berkata, pemaju juga sudah dimaklum berhubung perkara itu dan diminta untuk menyediakan laporan perancangan berkaitan masalah yang diadukan oleh pembeli.

“Perumahan itu mempunyai tiga fasa dengan lebih 1,000 unit rumah namun tidak semua yang terbabit. Difahamkan agak kritikal pada fasa 3 dan belum diduduki sepenuhnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1591
Kongsi :
Previous post Dua kolej vokasional cetus kluster COVID-19 di Melaka
Next post Zii Jia tinggalkan BAM
Ubah saiz-+=