Dua lagi PPV industri dibuka Ogos ini- KM

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BATU BERENDAM 12 Julai – Dua lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri dijangka dibuka Ogos ini sekali gus menjadikan lima buah dibuka di negeri ini.

Pembukaan kelima-lima PPV industri itu dapat mempercepatkan proses vaksinasi antara 160,000 hingga 180,000 pekerja industri sektor pembuatan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Persekutuan dan negeri meluluskan pembukaan dua PPV industri berkenaan.

Ia adalah di Kilang Texas Instruments Electronic Sdn Bhd (TIEM) dan Infineon Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd, kedua-duanya di Batu Berendam.

Katanya, manakala satu lagi PPV industri umum akan dilaksanakan di Pusat Konvensyen Bayou, Bukit Katil.

“Kerajaan negeri juga mempertimbangkan untuk membuka dua lagi PPV industri umum yang lebih banyak memfokuskan kepada kawasan perindustrian.

“Dua PPV itu dijangka akan dibuka di Kawasan Perindustrian Cheng dan Krubong serta Kawasan Perindustrian Alor Gajah pada awal Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PPV industri di Kilang Texas Instruments Electronic Sdn Bhd di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Ismail Ali.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, PPV industri di TIEM dan Infineon Technologies Sdn Bhd akan melaksanakan pemberian vaksin mengikut Model 2 iaitu pusat vaksinasi di tapak lokasi premis yang diluluskan oleh syarikat.

“PPV TIEM akan beroperasi hari ini manakala Infineon Technologies Sdn Bhd dijangka 19 Julai selain Pusat Konvesyen Bayou bermula 26 Julai.

“PPV industri di TIEM akan memberi vaksinasi kepada 1,946 pekerja, dengan kira-kira 450 orang menerima suntikan sehari.

“PPV industri di Infineon Technologies (M) Sdn Bhd dijangka akan memberi vaksinasi kepada 10,000 pekerja, iaitu 1,000 orang sehari,” katanya.

Sulaiman berkata, sebanyak 246 syarikat dengan jumlah pekerja seramai 48,44 telah mendaftar menerusi program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) setakat kelmarin.

Jelasnya, dengan penambahan jumlah PPV industri itu dijangka dapat mempercepatkan imuniti kelompok dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1003
Kongsi :
Previous post ‘Segan terpaksa minta ihsan orang’
Next post Polis siasat patung cetus provokasi
Ubah saiz-+=