‘Segan terpaksa minta ihsan orang’

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

DURIAN TUNGGAL 12 Julai – Tidak terlintas untuk meminta-minta, namun itu nasib seorang bapa orang upaya (OKU) demi kelangsungan hidup bersama isteri dan anak-anak.

Zaini Muhammad,57, dulunya hidup normal, namun pasrah apabila kehilangan kaki kiri yang terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis.

“Saya segan hidup macam ini…meminta ihsan jiran dan rakan-rakan termasuklah untuk beli lampin dewasa selepas menjadi OKU sejak tiga tahun lalu.

“Isteri, Roshita Md. Yusof, 57, yang menghidap penyakit usus kronik juga sering bimbang dengan keperluan asas harian ini.

“Pernah sebelum ini dia terpaksa menggunakan lampin sebanyak 20 keping sehari,” katanya.

SYUKUR… Zaini dan isteri melihat barangan keperluan disumbangkan Econsave.

Dia ditemui selepas menerima sumbangan bekalan asas termasuk lampin dewasa disampaikan Pegawai Perhubungan Awam Econsave Cash & Carry (Econsave), Azhar Dorajah di rumahnya di Kampung Pulau, Durian Tunggal di sini.

Zaini berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai buruh dan selepas insiden terpijak paku karat di tempat kerja, kaki kirinya terpaksa dipotong akibat komplikasi kencing manis dihidapinya.

“Ketika membuat kerja-kerja pertukangan saya terpijak tiga batang paku karat dan luka itu melarat kerana masalah kencing manis hingga kaki kiri terpaksa dipotong.

“Sejak insiden itu saya terpaksa memakai lampin pakai buang yang disumbangkan orang sekeliling,” katanya.

Ujar Zaini selepas menjadi warga OKU, dia turut hilang punca pendapatan untuk menyara keluarganya.

“Kami ada tiga orang anak, dua daripada mereka juga tidak sihat termasuk seorang OKU lembam yang kini hanya mengambil upah sebagai tukang kebun,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu selepas mendapat maklumat mengenai keluarga daif itu daripada penduduk setempat.

Katanya, pihaknya menyumbang bekalan asas kepada keluarga itu termasuk lampin dewasa bernilai keseluruhan RM600.

“Hari ini kita datang untuk sampaikan barangan keperluan asas diperlukan termasuk lampin dewasa dan pelbagai jenis makanan untuk bekalan kira-kira tiga bulan.

“Sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, kami juga telah menghulurkan bantuan bekalan makanan kepada lebih 10 keluarga memerlukan di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

464
Kongsi :
Previous post SPRM tahan pengerusi koperasi disyaki terima rasuah bernilai RM16 juta
Next post Dua lagi PPV industri dibuka Ogos ini- KM
Ubah saiz-+=