Dua pesakit COVID-19 ditahan curi 4 telefon di PKRC MAEPS

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang nyata tidak sepi daripada ‘kontroversi’.

Terbaru, tular video kekecohan di dewan kuarantin di situ didakwa berpunca dua lelaki mencuri empat telefon bimbit milik pesakit lain, malah anggota polis lengkap berpakaian pelindung diri (PPE) terpaksa dipanggil bagi mengawal keadaan.

Seorang daripada suspek dibawa keluar oleh pihak polis lengkap berpakaian pelindung diri (PPE).

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff mengesahkan penahanan kedua-dua lelaki berusia 24 dan 40-an itu yang juga pesakit di dewan kuarantin berkenaan, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, kekecohan dalam kalangan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan itu disedari pegawai perubatan satu daripada dewan di pusat kuarantin berkenaan kira-kira jam 10.30 malam.

Katanya, susulan itu, pegawai dan petugas perubatan terbabit mengaktifkan kod jingga dengan meminta bantuan anggota polis bertugas bagi meredakan keadaan.

Wan Kamarul Azran berkata, hasil temubual pegawai perubatan kalangan pesakit mendapati berlaku kecurian telefon bimbit sebelum beberapa pesakit lain menahan dua lelaki itu yang disyaki melakukan jenayah itu.

“Pegawai perubatan turut menemui empat unit telefon bimbit yang disyaki dicuri itu,” katanya sambil menambah kedua-dua suspek kemudian dipindahkan ke dewan lain bagi tujuan keselamatan.

ANGGOTA polis bertugas dikerah bagi mengawal keadaan.

Menurut Wan Kamarul Azran tempoh kuarantin seorang suspek tamat semalam manakala suspek berusia 24 tahun akan dilepaskan dari kuarantin hari ini.

“Kedua-dua mereka akan ditahan oleh pihak polis sebaik dilepaskan dari pusat kuarantin.

“Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Pada 21 Januari lalu, polis membuka kertas inkuiri, bagi menyiasat dakwaan berlakunya aktiviti judi di pusat kuarantin itu, seperti yang tular menerusi media.

Views:

601
Kongsi :
Previous post 17 kes, lebih RM15,000 nilai rampasan- KPDNHEP
Next post Muhyiddin penerima pertama suntikan vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=