Dua rentung dalam kemalangan empat kenderaan dekat Sedenak

Masa Membaca:55 Saat

JOHOR BAHRU, 16 Okt – Dua rentung manakala empat terselamat dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan tiga kereta di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan berdekatan dengan Sedenak, malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam Mohd Fauzi Nor berkata kejadian kira-kira pukul 7.47 malam itu melibatkan sebuah lori Isuzu dan tiga kereta iaitu Proton Wira, Toyota Vios dan Proton Preve.

“Wanita yang maut ialah penumpang Proton Wira dikenali sebagai Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28, yang ditemukan tersepit serta rentung di dalam kenderaan terbabit.

“Seorang lagi ialah mangsa dalam Toyota Vios tetapi belum dikenal pasti identitinya,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata lori Isuzu terbakar 70 peratus tetapi pemandu dan penumpang yang dikenali sebagai S. Suresh, 38, dan Mok You Jian, 22, selamat.

Turut terbakar Proton Wira dan Toyota Vios sebanyak 90 peratus, manakala pemandu Proton Wira dan Proton Preve terselamat, katanya.

Terdahulu, tular satu video seorang lelaki meraung kesedihan kerana tidak sempat menyelamatkan isterinya yang dipercayai rentung dalam kejadian itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6266
Kongsi :
Previous post Qasidah, selawat junjungan Nabi bergema di Seri Bendahara
Next post Puluhan rumah di P.Pinang dilanda banjir kilat
Ubah saiz-+=