Dua sahabat maut, motosikal dirempuh pemandu terlelap

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PAYA RUMPUT 25 Disember – Dua sahabat yang juga pelajar tingkatan empat maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Krubong Permai, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam itu, pembonceng motosikal Erwan Idris, 16, maut di lokasi kejadian manakala rakannya Putra Norsyaqir Putrawirawan, 16, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan itu membabitkan dua buah kereta iaitu Perodua Myvi dan Perodua Axia serta motosikal Honda C-100 dinaiki dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong.

Beliau berkata, motosikal pelajar terbabit dikatakan dalam perjalanan dari arah Taman Krubong Permai menghala ke One Krubong.

“Siasatan awal dilakukan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Axia yang dalam Perjalanan dari arah One Krubong menghala ke Taman Krubong Permai, masuk ke laluan bertentangan selepas pemandunya didakwa terlelap.

“Akibat daripada itu, kenderaan terbabit merempuh motosikal mangsa yang kebetulan melalui lokasi kejadian sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan,” katanya.

Menurutnya, akibat kemalangan itu pembonceng motosikal disahkan maut di lokasi kejadian manakala rakannya di Zon Merah Hospital Melaka, ketika sedang dirawat.

“Bagaimanapun lelaki yang juga pemandu Perodua Axia berusia 25 tahun tiada mengalami kecederaan begitu juga pemandu Perodua Myvi.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan selain pihaknya turut mengambil keterangan daripada saksi bebas yang melihat kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, sampel darah pemandu Perodua Axia turut diambil bagi mengesan kandungan alkohol dan dadah.

“Selain itu, kesemua kenderaan yang terbabit kini ditahan sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5702
Kongsi :
Previous post Murid tahun lima ditemukan lemas, seorang lagi masih hilang di Rantau Panjang
Next post Empat lelaki mangsa banjir terperangkap atas pokok diselamatkan
Ubah saiz-+=