Dua syarikat dikompaun RM10,000, ingkar SOP

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SUNGAI UDANG 6 Julai – Dua syarikat kontraktor di Taman Peruna di sini, masing-masing dikompaun RM10,000 manakala tiga lagi diberi amaran selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0

Kesalahan itu dikesan dalam operasi bersepadu diketuai Invest Melaka dan dibantu beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri bermula jam 11 pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pematuhan SOP negeri, Ramli Mohd Ali berkata, susulan itu, dua syarikat berkenaan dikompaun masing-masing berjumlah RM10,000 kerana membenarkan kehadiran pekerja melebihi 60 peratus.

RAMLI (dua dari kanan) memeriksa SOP sebuah syarikat kontraktor di kawasan perindustrian berhampiran Taman Peruna di sini.

Katanya, tiga syarikat yang diberikan amaran itu disebabkan gagal mengamalkan penjarakan fizikal dalam kalangan pekerja di premis masing-masing.

“Ada beberapa syarikat membenarkan pekerja lebih 60 peratus sebagaimana dibenarkan, jadi kompaun dikeluarkan oleh pasukan polis.

“Malah, dalam operasi itu juga kita kesan ada pekerja yang tamat waktu bekerja berlonggok beramai-ramai di gerai sambil berbual, yang mana perkara itu dilarang sama sekali,” katanya ketika ditemui pemberita dalam operasi berkenaan semalam.

ANGGOTA JIM turut membantu operasi bersepadu.

Menurut Ramli, dalam operasi sama pihaknya turut mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada dua pekerja syarikat kontraktor berikutan gagal mengimbas aplikasi MySejahtera.

Jelasnya, operasi itu dilaksanakan susulan pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai pekerja syarikat terbabit yang berkumpul di taman perumahan itu selepas tamat waktu bekerja.

“Taman perumahan itu menjadi tumpuan pekerja berkumpul ekoran kedudukannya berhampiran kawasan perindustrian berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

878
Kongsi :
Previous post Cadang pasar malam dibenar beroperasi – MEDAC
Next post COVID: 7,654 kes baharu, Selangor catat kes tertinggi
Ubah saiz-+=