Dua ‘tokan’ dicekup bersama dadah dianggar hampir RM42,000

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

MELAKA 4 Mac. Dua lelaki disyaki ‘tokan dadah’ ditahan bersama sejumlah dadah dianggarkan bernilai hampir RM42,000, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, kedua-dua lelaki berusia 50 dan 35 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Tanjung Kling dan Kandang, dekat sini.

Beliau berkata, tangkapan pertama dibuat kira- kira jam 2.20 petang Selasa sebelum tangkapan susulan pada 9 malam hari sama, membabitkan suspek berusia 35 tahun.

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid. Gambar fail.

“Dadah-dadah ini dipercayai untuk diedarkan di pasaran tempatan bagaimanapun ia berjaya dipatahkan pihak polis.

“Tangkapan pertama dibuat ke atas lelaki berusia 50 tahun dan menjumpai kira-kira 382 gram dadah disyaki heroin dan kira- kira 11.6 gram dadah disyaki syabu.

“Kesemua dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM14,470 dan turut menyita sebuah motosikal,” katanya.

Menurut beliau, susulan tangkapan pertama itu satu lagi serbuan dibuat yang membawa kepada penahanan seorang lagi suspek kira-kira enam jam kemudian.

“Hasil tangkapan kedua itu polis menemui kira-kira 2,527 gram dadah dipercayai heroin dianggarkan bernilai RM27,500.

“Hasil ujian saringan air kencing keatas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah dan semakan turut mendapati mempunyai rekod lampau,” katanya.

Mengulas lanjut Zulkiflee berkata, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 9 Mac bagi membantu siasatan.

“Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

“Tangkapan ini adalah kejayaan hasil daripada risikan dilakukan dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

465
Kongsi :
Previous post Penganggur didakwa sebabkan kematian semasa memandu dalam keadaan mabuk
Next post Keputusan tunai haji bergantung pada kelulusan Arab Saudi
Ubah saiz-+=