Penganggur didakwa sebabkan kematian semasa memandu dalam keadaan mabuk

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUANTAN 4 Mac. – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja kilang, Isnin lalu.

Pengakuan Mandave Singh, 26, yang memakai kemeja-T hitam dan seluar pendek jeans kelabu itu direkodkan di hadapan Majistret Nor Izzati Zakaria.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu semasa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza CBY7433 dan menyebabkan kematian Muhammad Akmal Hakim Misnan, 22, yang menunggang motosikal EX5 pada 1.10 pagi, 1 Mac lalu di Jalan Sungai Lembing di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang baru tamat belajar di institusi pengajian tinggi didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Peguam Farah Naz Kumar yang mewakili tertuduh merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM20,000 yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani, dengan mengambil kira keadaan kewangan keluarga tertuduh.

“Bapa tertuduh yang akan menjadi penjamin bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500, namun kini berdepan dengan masalah pandemik COVID-19 dan saingan e-hailing menyebabkan keadaan kewangan semakin sukar.

“Bapa tertuduh juga menyara isteri dan seorang anak yang mempunyai masalah kesihatan, selain tertuduh yang sukar mendapat kerja dalam situasi sekarang. Tertuduh berjanji tidak akan melarikan diri selain telah memberikan kerjasama kepada polis,” katanya.

Nor Izzati membenarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin bersama syarat tambahan tertuduh melapor diri di balai polis setiap bulan, lesen memandu digantung sehingga kes selesai dan pasport miliknya diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan sebutan semula kes pada 23 April bagi serahan dokumen memandangkan pihak pendakwaan masih menunggu laporan toksikologi tertuduh dan bedah siasat mangsa.

Pada Isnin lalu, polis mengesahkan Muhammad Akmal Hakim maut selepas motosikalnya dirempuh dari belakang menyebabkan mangsa yang bekerja di kawasan perindustrian Gebeng di sini, terpelanting ke cermin hadapan MPV yang merempuhnya sebelum terjatuh di tengah jalan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

568
Kongsi :
Previous post Laporan kebakaran kabel TNB bawah Jambatan Pulau Pinang telah siap
Next post Dua ‘tokan’ dicekup bersama dadah dianggar hampir RM42,000
Ubah saiz-+=