Dulu asnaf kini pengasas syarikat animasi

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 26 Oktober – “Kalau kita susah jangan putus asa. Jangan malu dan jangan anggap miskin itu semuanya tidak boleh.

“Jadi kita kena keluar daripada kotak pemikiran kita” itu pegangan seorang bekas anak asnaf, Nur’afifah Ridzwan yang kini bergelar pengasas sebuah syarikat animasi berjaya menempa nama dalam industri penyiaran negara.

Pegangan itu membantu Nur’afifah membina syarikat animasi berkenaan dan keluar daripada kelompok asnaf hasil daripada bantuan serta sokongan MAIM.

Terdahulu, Nur’afifah diumumkan sebagai penerima tunggal Anugerah Tokoh Usahawan Aspirasi MAIM 2021 disampaikan Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud pada Majlis Apresiasi Pelajar MAIM 2022, di sini, semalam.

Berkongsi kejayaannya Nur’afifah berkata, syarikat dibina sejak 2016 itu kini sudah menghasilkan beberapa episod animasi, selain turut aktif dalam bidang berkaitan pemasaran dan pengiklanan digital.

Lebih membanggakan apabila, Nur’afifah adalah penggiat bidang animasi Bumiputera tunggal di Negeri Melaka daripada keseluruhan empat syarikat.

Katanya menerusi syarikat Loceng Studio, dia diberi kepercayaan untuk menghasilkan beberapa siri animasi seperti ‘Birddy’ yang kini ditayangkan di sebuah stesen penyiaran tempatan.

“Ketika ini kami sedang dalam perancangan menghasilkan slot animasi untuk ditayangkan menerusi platform siaran digital di Netflix suatu hari nanti.

“Alhamdulillah ini semua berkat sokongan MAIM. Ibu saya sudah mengisi borang untuk keluar daripada kelompok asnaf, jadi bantuan yang kami terima sebelum ini boleh disalurkan kepada mereka lebih memerlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Meskipun sudah berjaya Nur’afifah tidak pernah melupakan ibunya kerana wanita istimewa itu dianggap seabgai sumber inspirasinya selama ini.

Menurutnya, MAIM umpama tonggak utama keluarganya selepas pemergian bapa tercinta pada 2002 dan sejak itu juga dia berazam untuk mengeluarkan keluarganya daripada kelompok asnaf.

“Ini merupakan pencapaian terbaik saya kerana memang MAIM banyak membantu sejak mula sampailah ke hari ini. Terima Kasih MAIM atas segalanya,” katanya.

Bercerita mengenai latar belakang pendidikan Nur’afifah berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) membuka jalan baginya untuk menguasai bidang ICT dan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 hasil pengajiannya di Institut Latihan Perindustrian (ILP).

“Saya minat komik dan kartun tambahan pula ketika di sekolah memang saya dalam bidang ini, MAIM dan Mara telah banyak mendorong saya memasuki kursus ini.

“Sekarang saya sedang mengikuti pengajian Sarjana Muda Pengurusan di Universiti Tun Abdul Razak (UniTAR) dan merancang untuk mengembangkan syarikat animasi ini hingga bertaraf global suatu hari nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2454
Kongsi :
Previous post Melaka bakal sambut Hari Petugas Pembersihan tahun depan
Next post Jangan malu mohon bantuan MAIM
Ubah saiz-+=