Melaka bakal sambut Hari Petugas Pembersihan tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KOTA LAKSAMANA 26 Oktober – Sambutan Hari Petugas Pembersihan bakal diadakan bermula tahun hadapan bagi memberi pengiktirafan kepada petugas pembersihan yang juga hero tidak didendang di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberikan oleh petugas sektor pembersihan.

“Sambutan Hari Pekerja Pembersihan yang disambut setiap 17 Jun, setiap tahun sewajarnya disambut di setiap negeri bagi menghargai serta meraikan para pekerja yang terbabit dalamkerja pembersihan termasuk di kawasan lerumahan.

“Sehubungan itu, saya cadangkan supaya Sambutan Hari Petugas Pembersihan diadakan pada 2023 bagi memberi pengiktirafan kepada semua petugas pembersihan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Petugas Sektor Pembersihan Negeri Melaka, di Dewan Hang Tuah.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir Negeri, Datuk Rahmad Mariman; dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman.

Menurut beliau, masyarakat tidak boleh menganggap karier dalam pembersihan sebagai satu perkara yang remeh malah patut berterima kasih di atas apa yang dilakukan oleh pekerja pembersihan ini.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana telah bekerja tanpa mengenal penat lelah demi memastikan kelestarian dan aspek kebersihan Melaka terjamin.

“Sebagai sebuah negeri yang berasaskan pelancongan, aspek kebersihan negeri memang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri,” katanya.

Sulaiman berkata, pihaknya difahamkan, kekuatan keseluruhan anggota pekerja SWM Environment Sdn Bhd yang menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Melaka adalah seramai 2,062 orang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2441
Kongsi :
Previous post Penjaja sebak anak dinobat tokoh pelajar cemerlang MAIM
Next post Dulu asnaf kini pengasas syarikat animasi
Ubah saiz-+=